February 10, 2016

Tak tahan dituduh gila

Zakaria berdiri di hadapan tempat tinggalnya yang hanya ditutupi dengan kain.

JASIN - "Pak cik pernah rasa nak cukur kening, botakkan kepala, buang misai. Sebab tak tahan orang cakap pak cik gila," kata seorang lelaki yang menumpang teduh di belakang sebuah bengkel motosikal di pekan Bemban, di sini.

Zakaria Sarin, 53, yang belum berkahwin terpaksa tinggal di belakang bengkel diperbuat daripada kayu dan hanya ditutupi kain selepas dihalau dari rumah sewanya yang terletak tidak jauh dari situ.

Semuanya kerana dia tidak mampu membayar sewa rumah dengan hasil pendapatan RM12 sehari sebagai pembantu kedai menjual pisang.

Namun, dengan bantuan anak saudaranya, dia dapat menumpang di belakang bengkel tersebut walaupun dalam keadaan bersemak sebagai tempat berteduh.

Menurut Zakaria, walaupun serba kekurangan, dia tetap bersyukur kerana masih ada ahli keluarga bersimpati termasuk abang-abangnya yang turut membantu.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak mahu terlalu bergantung harap kerana faham mereka juga mempunyai ahi keluarga yang perlu disara.

“Pak cik hanya menumpang kasih anak saudara yang berikan pak cik tinggal di sini sejak tahun lalu. Jika tidak, pak cik pun tak tahu di mana  nak tinggal.

“Walaupun tempat ini kecil tapi sekurang-kurangnya ada juga tempat nak berteduh. Setiap hari pak cik tidur atas kerusi kerana takut kalau ada haiwan berbisa menceroboh masuk kawasan ini,” katanya yang mempunyai sembilan beradik dan dua daripadanya sudah meninggal dunia.

Zakaria berkata, dia ada kala terkilan dengan sikap segelintir masyarakat yang menganggapnya sebagai lelaki gila disebabkan sikapnya tidak bergaul dengan masyarakat dan tinggal di tempat seperti itu.

Menurutnya, dia tidak mempunyai pilihan lain kecuali tinggal di situ biarpun tanpa bekalan air dan menggunakan tandas yang uzur untuk menguruskan diri.

“Sehingga sekarang pak cik tetap sabar dengan ejekan dan pandangan sinis masyarakat. Sedangkan pak cik tak pernah ganggu orang, pak cik tak pernah buat kerja jahat," katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Zakaria bagaimanapun berkata, dia juga bersyukur apabila Pejabat Japerun Bemban mengambil berat kepayahan dialaminya menyebabkan dia menerima RM230 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, dia pernah berhasrat memohon rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), bagaimanapun disebabkan tanah pusaka itu mempunyai banyak nama membantutkan hasratnya.

“Hidup pak cik umpama kais pagi makan pagi. Pak cik pun tak tahu kesudahan kehidupan pak cik sama ada dapat menikmati kediaman lebih baik atau terus begini," katanya.

Sinar Harian 9 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment