February 16, 2016

Syukur selamat

GAMBAR lelaki terbaring dalam keadaan cedera selepas jatuh motosikal akibat dihimpit ketika mengejar suspek menjadi viral di media sosial.

Ipoh: Tindakan seorang wanita meninggalkan anaknya dalam kereta dengan keadaan enjin tidak dimatikan serta pintu tidak berkunci hampir mengundang padah apabila kenderaannya dilarikan pencuri, namun anaknya sempat keluar dari kereta berkenaan di hadapan pusat asuhan di Taman Meru Perdana, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian samun kenderaan jam 6.50 petang, ibu mangsa dikatakan ke pusat asuhan itu untuk mengambil anak bongsunya, manakala anak sulungnya yang berusia 9 tahun ditinggalkan dalam kereta di bahagian tempat duduk belakang.

Menurut sumber, wanita berusia 38 tahun itu meninggalkan kereta Honda Accord 2.0 dengan nombor pendaftaran WPW 5975 dalam keadaan enjin tidak dimatikan dan anak perempuannya di dalam kenderaan.

“Ketika wanita berkenaan mengambil anak bongsunya, tiba-tiba anak sulung berlari ke arahnya yang berada di hadapan pusat asuhan berkenaan kira-kira 40 meter dari lokasi kereta diletakkan.

“Anak sulungnya menjerit mengatakan ada orang bawa lari kereta,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sumber berkata, lokasi kejadian terletak di kawasan tengah perumahan terbabit.

“Menurut anak sulung mangsa, dia terkejut apabila suspek masuk ke kereta, namun sempat keluar melarikan diri.

“Bagaimanapun, kejadian berlaku pantas dan mangsa tidak nampak wajah suspek,” katanya.

Menurutnya, suspek digambarkan berkulit cerah, berambut pendek, berbadan tegap, memakai baju hitam dan seluar panjang serta berusia lingkungan 40-an.

“Kereta dilarikan itu milik suami wanita berkenaan yang bertugas di luar kawasan.

“Akibat kejadian itu, mangsa kerugian RM82,000 selain beg tangan dan telefon bimbit ditinggalkan dalam kereta,” katanya.

Kes berkenaan turut menjadi viral di media sosial apabila gambar lelaki terbaring dalam keadaan cedera yang dikatakan menyaksikan kejadian, namun terjatuh daripada motosikal akibat dihimpit suspek ketika lelaki berkenaan cuba mengejar suspek dimuat naik di Facebook.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner, Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian samun kenderaan itu dan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

“Polis sahkan kes curi kereta, tetapi setakat ini tiada sebarang laporan diterima mengenai kejadian individu mengejar suspek sehingga mengalami kemalangan,” katanya.

myMetro 14 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment