February 16, 2016

3 rumah musnah terbakar

MANGSA kebakaran, Mustapha Omar melihat keadaan rumahnya yang hangus terbakar.

Bachok: “Saya terkejut selepas terdengar jeritan ibu yang tinggal di sebelah rumah sebelum menyedari kebakaran itu,” kata Rokiah Mustapha, 55, saksi kebakaran membabitkan tiga rumah di di Kampung Keting, Gunong, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Rokiah berkata, sebelum kejadian itu dia sedang bersiap untuk tidur sebelum terdengar ibunya, Rogayah Hamzah, 72, yang tinggal di sebelah rumahnya menjerit.

“Saya melihat api yang sedang membakar plastik yang mengandungi pakaian di dalam rumah.

“Melihat keadaan itu, saya pantas menyelamatkan emak dan bapa keluar dari rumah sebelum api marak dan memusnahkan keseluruhan rumah,” katanya.

Menurutnya, api kemudian merebak ke dua rumah jiran ibunya.

“Saya hanya sempat menyelamatkan sebuah motosikal, kereta serta beberapa dokumen penting lain dan kerugian dianggarkan RM50,000.

“Sementara menunggu bomba tiba, saya bersama penduduk kampung cuba memadamkan api dengan menyiram air menggunakan baldi, namun gagal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok Mohd Rozi Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.53 pagi sebelum enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya turut memperoleh bantuan dari BBP Ketereh, Tunjong dan Pasir Puteh dengan kekuatan 20 anggota untuk memadamkan kebakaran.

“Setibanya di lokasi kejadian didapati rumah separuh kekal terbakar 100 peratus sebelum merebak dengan cepat ke dua kediaman lain.

“Proses pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 6.07 pagi dan punca kejadian masih disiasat,” katanya.

myMetro 15 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment