February 16, 2016

Rezeki tukang urut jalanan


KHAIRUL Anuar (kanan) bersama Hasli Hashim (tengah) dan Zulfaizan Zulkeply (kiri) mencari rezeki menerusi perkhidmatan urutan refleksologi di Pasar Tani Pantai Dalam.

Kuala Lumpur: Dilahirkan cacat penglihatan bukan penghalang kepada 10 sahabat untuk bekerjasama mencari rezeki sebagai tukang urut jalanan.

Kelibat mereka boleh dilihat di Pasar Tani Pantai Dalam, Pasar Pagi Taman Medan dan Setiawangsa serta Pasar Malam Putrajaya untuk memberikan perkhidmatan urutan re fleksologi kaki.

Mereka bergerak di bawah satu syarikat selepas menamatkan kursus urutan berkenaan di Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).

Tukang urut Nurul Zalifah Insyirah Esa, 28, berkata, dia memulakan kerjaya itu tiga tahun lalu sepenuh masa sebagai punca utama pendapatannya.

Menurutnya, dia sanggup berhijrah dari Miri, Sarawak ke Kuala Lumpur semata-mata mahu mengikuti kursus itu selama setahun untuk berdikari kerana tidak mahu bergantung kepada ibu bapanya.

“Saya seronok ceburi bidang ini dan meneruskan kerjaya kerana dapat berkhidmat membantu masyarakat.

“Tugas saya hanya tertumpu kepada wanita dan turut berkebolehan dalam urutan badan,” katanya.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia menyedari kemungkinan risiko yang boleh menimpanya kerana mengikut pelanggan pulang ke rumah bagi urutan badan.

“Selalunya saya ditemani rakan ke rumah pelanggan tapi kadangkala sendirian apabila mereka ada tugas masing-masing.

“Saya hanya bergantung sepenuhnya kepada Allah supaya sentiasa dilindungi kerana niat ikhlas mencari rezeki halal,” katanya.

Rakannya Khairul Anuar Ismail, 25, berkata, dia memilih kerjaya itu kerana tidak mempunyai pilihan lain disebabkan masalah penglihatan dialaminya sejak dilahirkan.

“Saya berasa puas apabila pelanggan beritahu sakit pada kaki atau badan dihidapi mereka disebabkan masalah angin atau urat berkurangan selepas menjalani urutan.

“Kadar bayaran dikenakan berpatutan serendah RM10 bergantung tempoh masa dan jenis urutan,” katanya yang sudah 10 tahun menjadi tukang urut.

myMetro 15 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment