February 16, 2016

Wanita warga asing dipaksa kerja tanpa gaji

Klang: Dipaksa bekerja percuma. Itu nasib yang menimpa seorang wanita warga asing apabila bekerja sebagai pembantu rumah tanpa dibayar gaji oleh majikannya sejak setahun setengah lalu.

Namun penderitaan mangsa yang berusia 27 tahun itu berakhir apabila diselamatkan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, wanita terbabit diselamatkan dalam Ops Pintas selepas pihaknya mendapat aduan daripada orang awam.

Beliau berkata, selepas risikan dijalankan, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Bandar Baru Klang, di sini, kira-kira jam 9 malam.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui mangsa yang berasal dari Indonesia di dalam rumah berkenaan. Mangsa bekerja sebagai pembantu rumah di beberapa rumah sejak setahun setengah lalu, namun gaji tidak dibayar seperti yang dijanjikan.

“Polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang juga disyaki penjaga mangsa di dalam rumah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, polis juga merampas pelbagai dokumen dan sebuah kereta untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan juga mendapati lelaki tempatan yang ditahan bekerja sebagai ejen membekalkan pekerja asing untuk menjadi pembantu rumah dan tidak membayar gaji seperti yang dijanjikan kepada pekerjanya.

“Pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh mangsa dan suspek kini direman selama lima hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007,” katanya.

myMetro 15 Feb 2016



0 comments:

Post a Comment