February 8, 2016

Rakan berkunjung isteri pun ghaib

WIDAYATI dan anak hilang sejak tujuh hari lalu.

Cheras: Sambutan Tahun Baru Cina kali ini hambar buat seorang suami berikutan isteri dan anak perempuan hilang secara ‘misteri’ sejak seminggu lalu.

Dalam kejadian Isnin lalu, wanita terbabit, Widayati, 32, dan anaknya, Choong Hui Ling, tujuh tahun dikatakan keluar bersama tiga rakan wanita berhampiran rumah mereka sebelum hilang tanpa berita.

Suaminya, Choong Pack Choon, 51, berkata, tiga rakan wanita isteri datang ke rumah mereka di Taman Putri Jaya di sini, dengan menaiki teksi sebelum mereka memberitahu mahu keluar makan di restoran berhampiran.

“Ketika kejadian hanya ibu dan kakak ipar saya di rumah. Mereka melihat isteri saya dan rakannya itu sangat mesra. Mereka langsung tidak mengesyaki apa-apa.

“Bagaimanapun kami mula curiga apabila Widayati tidak pulang ke rumah sehingga jam 6 petang. Saya cuba menghubungi telefon bimbit isteri namun gagal,” katanya.

Menurutnya, dia yakin isterinya tidak berniat melarikan diri berikutan wanita itu tidak membawa wang dan dokumen peribadi miliknya dan anak.

“Dia tidak pernah menunjukkan kelakuan pelik malahan isteri saya membuat persiapan untuk sambutan Tahun Baru Cina ini.

“Sehingga kini saya buntu memikirkan nasib isteri dan anak berikutan kami tidak pernah berdepan masalah rumah tangga,” katanya.

Menurutnya, pekerja restoran terbabit yang ditemui mendakwa melihat isteri dan anaknya menaiki teksi selepas menjamu selera.

Choong berkata, dia tidak mengenali rakan isterinya itu dan bimbang keselamatan anak serta isterinya itu.

Katanya, dia membuat laporan di Balai Polis Batu 9 Cheras dan berharap orang ramai yang mengenali atau ternampak isterinya dan anaknya supaya segera menghubunginya di talian 012-2787949 atau memaklumkan kepada polis.

myMetro 8 Feb 2016




0 comments:

Post a Comment