February 8, 2016

Selamatkan tanah kubur ini

Anggota JPAM Kuala Terengganu dan waris membersihkan kubur. FOTO Zaid Salim

Kuala Nerus: Penduduk Kampung Tengah, Mengabang Telipot, di sini, minta kerajaan negeri mengambil langkah segera bagi menyelamatkan kawasan tanah perkuburan yang terletak berhampiran pantai daripada hilang akibat hakisan.

Hakisan di kawasan itu berlaku setiap kali musim tengkujuh dan air pasang besar menyebabkan tanah perkuburan yang dahulunya berada pada jarak lebih 150 meter dari pantai kini bagaikan menunggu untuk dibawa arus apabila berada hanya kira-kira lima meter dari pantai.

Kawasan tanah perkuburan berkenaan adalah milik seorang penduduk kampung yang mewakafkannya.

Penduduk, Amri Abdul Gawi, 52, berkata, kawasan tanah perkuburan itu adalah milik arwah datuknya yang mewakafkannya untuk dijadikan tanah perkuburan hanya untuk kematian pada musim banjir kerana kawasan berkenaan sebelum ini tidak dinaiki air.

Berikutan itu, Amri dan waris jenazah yang dikebumikan di tanah perkuburan itu minta kerajaan negeri agar dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak tanah perkuburan berkenaan lenyap.

Tanah perkuburan berkenaan terjejas teruk dalam kejadian air pasang besar pada Januari lalu dan semalam.

Petang tadi, sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Terengganu dan penduduk kampung bergotong-royong membersihkan sampah sarap yang dibawa ombak di kawasan tanah perkuburan berkenaan.

Selain menyertai gotong-royong, waris jenazah yang dikebumikan di kawasan itu turut meninjau tanah perkuburan terbabit untuk melihat keadaannya selepas kejadian air pasang besar petang semalam.

Difahamkan, jenazah yang dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan dari sekitar Kampung Tengah, Tanjung Gelam, Banggol, Padang Nenas dan Gong Pak Jin serta Taman Perumahan Gong Badak Fasa 4.

myMetro 8 Feb 2016


0 comments:

Post a Comment