February 12, 2016

Pencuri taring harimau cari nahas

MOHD Hasdi menunjukkan salinan laporan polis dan gambar individu yang dipercayai terbabit.

Kuala Terengganu: Tiga individu yang dipercayai terbabit mengeluarkan gigi taring daripada bangkai seekor harimau betina bakal berdepan denda maksimum sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri Mohd Hasdi Husin berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung kehilangan taring pada bangkai harimau yang mati dirempuh di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Kerteh di Kemaman pada 6 Februari lalu.

“Pihak kami sudah melantik pegawai khas untuk menjalankan siasatan kes berkenaan dan kerjasama semua pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan digunakan bagi memudahkan proses menjejaki suspek yang bertanggungjawab terhadap perbuatan itu.

“Pelaku berdepan dakwaan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) Seksyen 68 (1) (C) dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 hingga RM500,000 dan penjara lima tahun,” katanya ketika ditemui Harian Metro di pejabatnya, semalam.

Tindakan tiga individu berkenaan menimbulkan kekecohan apabila perbuatan mereka menjadi viral di laman sosial baru-baru ini apabila tiga keping gambar kecil iaitu tiga individu sedang berdiri melihat bangkai harimau, seorang lelaki mencangkung di depan kepala harimau sambil memegang sejenis alat seperti tukul dan alat lain serta gambar mempamerkan seolah-olah membelek atau mengeluarkan sesuatu daripada mulut haiwan itu menggunakan alatan berkenaan.

Beliau berharap mana-mana pihak terbabit dengan perbuatan itu tampil memberi keterangan bagi melancarkan proses siasatan seterusnya membolehkan taring dan misai atau apa saja bahagian diambil daripada bangkai harimau bunting itu diserahkan kepada pihaknya.

“Jika suspek tampil dan menyerahkan bahagian yang diambil pada haiwan liar itu, kita dianggap dia memberi kerjasama dan kami menggunakan kuasa budi bicara untuk menyelesaikan kes itu dengan cara yang paling berhemah.

“Individu yang terbabit dengan perbuatan itu perlu mengambil peluang itu untuk memastikan mereka tidak dikenakan tindakan undang-undang dan jika mereka tidak berbuat demikian tetapi ditangkap PERHILITAN, tindakan undang-undang dikenakan tanpa sebarang kompromi,” katanya.

Pihaknya membuat siasatan awal terhadap kakitangan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang turut terbabit di dalam gambar yang diviralkan di laman sosial.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan kepada PERHILITAN Terengganu di talian 09-6221460 jika mereka mempunyai maklumat mengenai perkara itu,” katanya.

myMetro 11 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment