February 12, 2016

Lanun ancam nelayan

Kuala Selangor: Ancaman lanun di perairan daerah ini menakutkan nelayan menyebabkan ada antara mereka bimbang turun ke laut.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, aduan yang diterimanya daripada golongan nelayan itu sangat serius dan beliau meminta pihak berkuasa mengambil tindakan menanganinya.

Beliau berkata, ancaman lanun itu bukan saja menjejaskan pendapatan nelayan tetapi juga tangkapan ikan akan berkurangan.

“Ancaman lanun akan menjejaskan pendapatan nelayan yang kerjayanya menangkap ikan untuk menyara kehidupan mereka.

“Jika isu ini tidak diselesaikan segera, mereka takut turun ke laut dan secara tidak langsung hasil tangkapan ikan berkurangan.

“Pihak berkuasa seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Polis Marin sudah dimaklumkan dan diharap dapat melakukan rondaan dan penguatkuasaan,” katanya di sini, semalam.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, ketika ini ikan banyak di kawasan perairan terutama daerah Kuala Selangor yang dalam proses penjenamaan sebagai pusat pelancongan dan makanan, namun insiden kehadiran lanun akan menjejaskan semuanya.

“Kita berharap pihak penguatkuasaan mempertingkatkan rondaan supaya dapat membanteras aktiviti lanun di kawasan perairan kita.

“Lanun yang dipercayai dari negara jiran ini menyebabkan nelayan kita takut ke laut, jika tindakan segera tidak dilakukan, ia memberi impak negatif dan secara tidak langsung menurunkan hasil tangkapan ikan,” katanya.

myMetro 12 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment