February 11, 2016

Ombak 4.5 meter, angin 60 kmj

Kota Bharu: Seramai 86 mangsa daripada 17 keluarga Kampung Pantai Pulau Kundur di sini, masih berada di pusat pemindahan bencana di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Kundur ekoran keadaan rumah mereka masih dalam bahaya untuk diduduki.

Mereka tinggal di pusat berkenaan sejak empat hari lalu dan masih tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan amaran angin kencang selaju 50 hingga 60 kilometer sejam dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter sehingga Khamis esok.

Rohani Hassan, 51, berkata rumahnya musnah empat hari lalu dan kini terpaksa menumpang berteduh di situ.

"Selepas pusat pemindahan ini ditutup saya akan menumpang di rumah saudara-mara bersama suami dan tujuh anak.

“Saya harap kerajaan dapat membantu membina rumah baru kepada saya dan mangsa lain," katanya ketika ditemui hari ini.

Seramai 86 penduduk daripada 17 keluarga itu dipindahkan Ahad lalu berikutan air pasang besar kali kedua. Mereka adalah mangsa sama dari perkampungan itu yang sebelum ini terbabit dalam kejadian sama pada 25 Januari lalu.

myMetro 10 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment