February 11, 2016

'Ombak, angin kencang luar biasa'

Chukai: “Ombak mula membadai jam 6.30 petang dan diikuti dengan angin kencang dalam keadaan yang sangat luar biasa,” kata mangsa fenomena air pasang besar dan angin kencang, Mohd Naim Abdullah, 41, di Kampung Geliga Baru, di sini, semalam.

Menurutnya, melihat keadaan itu, dia dan isterinya, Noros Faizal Mohamad Gati, 30, bersama tiga anak berusia tiga hingga 11 tahun terpaksa menyelamatkan diri.

Katanya, dia juga sempat membawa peti sejuk dan televisyen untuk diselamatkan manakala barangan lain ditinggalkan.

“Selepas mengeluarkan peti sejuk dan televisyen, kami sekeluarga pergi ke balai raya kampung untuk mendapatkan perlindungan.

“Apabila keadaan kembali reda jam 9 malam, saya kembali ke rumah untuk melihat keadaannya dan mendapati pasir setinggi hampir satu meter masuk ke dalam rumah selepas dibawa ombak.

“Beberapa batang pokok termasuk pokok kelapa tumbang berdekatan rumah dan nasib baik tidak menimpa kediaman saya,” katanya.

Dalam kejadian Ahad lalu, enam rumah dibadai ombak besar menyebabkan empat daripadanya rosak terutama di bahagian dapur.

Seorang lagi mangsa, Suhaimi Mohamad, 48, berkata, dia yang tinggal seorang diri terdengar deruan ombak yang kuat membuatkannya berlari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

Menurutnya, dia melihat gulungan ombak besar membadai rumahnya hingga menyebabkan beberapa bahagian rosak.

“Saya hanya mampu melihat dari jauh rumah saya dibadai ombak besar dengan perasaan sangat pilu kerana semua barangan dalam rumah rosak ditimbus pasir yang masuk ke dalam rumah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Geliga Baru Zulkarnaen Zubir berkata, seramai 23 penduduk ditempatkan di balai raya kampung berkenaan bagi mendapatkan perlindungan.

Menurutnya, fenomena terbabit kembali reda kira-kira jam 8 malam dan ramai mangsa hanya pulang ke rumah pada keesokkan harinya termasuk untuk membersihkan serta membaiki kerosakan kediaman mereka.

myMetro 10 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment