February 23, 2016

Maut rempuh lori tangki

Tampin: Bapa kepada wartawan BH, Mohd Hamizar Abdul Hamid, meninggal dunia selepas kereta dipandu merempuh belakang lori tangki Majlis Daerah Tampin yang menyiram pokok di Jalan Batu 1, di sini, pagi ini.

Kejadian kira-kira 10 pagi itu menyebabkan mangsa Abdul Hamid Md Yasin, 75, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, Saifulnizam Abu Bakar, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.03 pagi dan bergegas ke lokasi bersama satu jentera, Perkhidmatan Perubatan Penyelamat Kecemasan (EMRS) serta lapan anggota.

Katanya, mangsa dari Tampin dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Baru Chengkau, Kota, Rembau.

"Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit pada 10.27 pagi dan pihak hospital mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin untuk tindakan selanjutnya.

myMetro 23 Februari 2016



Pesara bomba maut kemalangan rempuh belakang lori


TAMPIN - Seorang pesara bomba maut selepas kereta yang dipandunya merempuh bahagian belakang kiri lori Majlis Daerah Tampin (MDT) yang sedang melakukan kerja-kerja menyiram bunga di kilometer tiga, Jalan Tampin-Seremban, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.05 pagi itu, mangsa, Amit @ Abd Hamid Md Yassin, 75, yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin.

Menurut Ketua Polis Daerah, Superintenden Wooi Kooi Cheang, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu kereta mangsa Perodua Kancil dan lori MDT yang sedang melakukan kerja-kerja menyiram bunga di lorong kanan.

"Mangsa yang datangnya dari arah Tampin telah merempuh bahagian bicu kiri belakang lori berkenaan dan kenderaan mangsa tercampak ke tepi jalan.  Mangsa disahkan maut oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi.

"Sementara, kakitangan MDT yang melakukan kerja-kerja menyiram bunga tidak mengalami kecederaan serius," katanya kepada Sinar Harian.

Kooi Cheang berkata, mayat mangsa di hantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat.

Sinar Harian 23 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment