February 23, 2016

Didakwa rempuh 24 kenderaan

Nibong Tebal: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jawi, di sini, hari ini atas pertuduhan merempuh 22 kereta dan dua motosikal.

Tertuduh, G Mathan, 30, minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu lori dengan cuai sebelum merempuh 22 kereta dan dua motosikal di Pasar Awam Taman Berjaya, 8 pagi, Ahad lalu.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 ke atas tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM8,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin serta 22 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

myMetro 23 Februari 2016


Pemandu berang rempuh kereta, motosikal

Keadaan satu kenderaan yang rosak teruk akibat dirempuh lori di di parkir pasar awam Taman Berjaya, Nibong Tebal, pagi tadi. - Foto AMIR IRSYAD OMAR

Nibong Tebal: Berang kerana kenderaan yang diparkir menghalang laluannya, seorang lelaki 30-an merempuh 22 kereta dan dua motosikal yang diletak di parkir pasar awam Taman Berjaya, di sini, pagi tadi.

Menurut sumber, kejadian berlaku jam 8 pagi dan pemandu lori terbabit dikatakan berang kerana kenderaan terbabit menghalang laluannya.

"Siasatan awal mendapati dia memandu lori secara melulu dan merempuh kereta serta motosikal terbabit.

"Pemandu berusia lingkungan 30-an itu kemudian meninggalkan lorinya dan melarikan diri," katanya.

Menurutnya, tujuh kereta rosak teruk dan siasatan lanjut masih dijalankan.

myMetro 21 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment