February 8, 2016

Malu beritahu rakan

MOHD Helmi menabur bakti kepada masyarakat dengan mendidik kanak-kanak.

Kuala Lumpur: Jarang sekali kita melihat atau mendengar seorang lelaki menjadi guru tadika yang sinonim dimonopoli golongan Hawa.

Namun, pada masa ini perkara itu bukan lagi mustahil kerana lelaki juga mampu mendidik dan menguruskan kanak-kanak setanding wanita.

Bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda Sumber Manusia dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Mohd Helmi Abd Razak, 30, minat menabur bakti kepada masyarakat selain gemarkan kanak-kanak membawa dirinya menjadi pemaju masyarakat atau guru tadika di Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

“Saya tidak menyesal memilih kerjaya ini kerana bagi saya, jika kita buat apa yang diminati kita mampu bertahan lebih lama walaupun dilanda pelbagai dugaan.

“Memang mengendalikan kanak-kanak bukan tugas mudah, tetapi jangan terlalu garang, perlu banyak memujuk dan berhalus dengan mereka.

“Bagi saya, kanak-kanak mudah dibentuk dan menerima apa diajar tetapi sudah tentu memerlukan kesabaran tinggi kerana mereka dalam proses mengenali fasa kehidupan dan suka banyak bertanya,” katanya.

Mohd Helmi yang kini bertugas di Kompleks Tabika Kem Perdana Sungai Besi mengakui pada awal pembabitannya memilih kerjaya itu dia merahsiakan daripada pengetahuan rakannya.

“Sebelum ini, saya malu hendak beritahu kawan yang saya bekerja sebagai guru tadika kerana bimbang persepsi diberikan mereka terhadap saya.

“Tetapi, apabila keluarga banyak memberi sokongan saya meneruskan kerjaya ini dan alhamdulillah tidak malu lagi memberitahu kawan yang saya bekerja dalam bidang ini.

“Alhamdulillah sudah setahun saya di sini dan
bertekad untuk teruskan kerjaya ini kerana rasa sangat sesuai dengan jiwa saya yang sukakan kanak-kanak,”katanya.

Katanya, kerjaya itu bukan sekadar mendidik perkembangan awal kanak-kanak, tetapi dia juga berpeluang mendekati masyarakat.

myMetro 8 Feb 2016



0 comments:

Post a Comment