February 13, 2016

Lemas mandi laut

Dungun: Remaja lelaki berusia 17 tahun ditemui lemas selepas mandi bersama dua rakannya dalam kejadian di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sura Hujung, Jalan Pantai Sura Hujung, di sini, petang tadi.

Mayat mangsa, Mohd Firdaus Sulong, 17, dari Kampung Sura Tengah, di sini ditemui terdampar di persisiran pantai kira-kira 3 petang oleh anggota Bomba kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan 11 Mahyuddin Mohamad berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Dungun ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 1.34 tengah hari .

Katanya, gerakan mencari dan menyelamat mangsa dijalankan sebaik di lokasi kejadian sebelum mayatnya ditemui jam 3 petang.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

myMetro 11 Februari 2016


Nyawa atau kerang? 

Dungun: Kejadian seorang pelajar lemas selepas dihanyutkan ombak besar ketika mencari kerang di Pantai Sura di sini, petang semalam, bagaikan tidak mendatangkan kebimbangan kepada orang ramai kerana pantai berkenaan terus menjadi tumpuan orang ramai mengutip kerang.

Tinjauan Harian Metro mendapati kira-kira 300 pengunjung membanjiri pantai berkenaan mengutip kerang yang terdampar di pantai itu.

Lebih membimbangkan, ada ibu bapa yang terlalu asyik mengutip kerang, mengabaikan keselamatan anak-anak mereka yang ikut bersama.

Ini terbukti apabila seorang kanak-kanak berusia tiga tahun nyaris lemas selepas ditarik ombak tetapi sempat diselamatkan bapanya.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun Datuk Din Adam berkata, kejadian lemas yang menimpa Mohd Firdaus Sulong, 17, semalam perlu dijadikan iktibar dan meminta orang ramai lebih berhati-hati sepanjang berada di pantai berkenaan.

Semalam, polis memberi melarang orang ramai dilarang menjalankan aktiviti di sepanjang Pantai Dungun berikutan keadaan ombak besar ketika ini.

Ketua Polis Daerah Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, arahan itu dikeluarkan berikutan kejadian remaja lemas dihanyutkan ombak ketika mencari kerang di pantai Sura tengah hari semalam.

Larangan itu berkuat kuasa serta-merta dan semua pihak diminta memberi kerjasama bagi mengelak kejadian sama berulang.

Beliau berkata fenomena ribuan kerang terdampar di pantai itu sejak petang kelmarin, menyebabkan orang ramai memenuhi kawasan itu untuk mengutip hidupan itu tanpa memikirkan keselamatan mereka.

Mangsa Mohd Firdaus Sulong, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sura ditemui terdampar di pantai kira-kira 3.10 petang semalam, kira-kira 20 meter dari tempat dia dan tiga lagi rakannya mencari kerang.

myMetro 12 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment