February 28, 2016

Lelaki Bangladesh maut tertimbus tanah

KUALA PILAH -  Seorang lelaki warga Bangladesh maut setelah tertimbus tanah ketika sedang bekerja di sebuah kilang simen (Negeri Sembilan Cement Industries Sdn.Bhd) di Jelai, di sini, petang ini.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang, mangsa berusia 40-an dipercayai telah ditimbus tanah yang terjatuh dari mesin bancuhan tanah.

Insiden itu turut mengakibatkan dua lagi pekerja masing-masing seorang lelaki tempatan dan warga Bangladesh mengalami cedera ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah Jaafar Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.10 petang sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota ke lokasi kejadian.

"Operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa 15 minit dan disahkan meninggal dunia.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, untuk rawatan lanjut.

Sinar Harian 27 Feb 2016


Maut tertimbus tanah liat

Pekerja melihat mayat mangsa yang berjaya dikeluarkan anggota bomba.

Lokasi nahas mengakibatkan buruh berkenaan maut akibat tertimbus tanah liat.

KUALA PILAH - Seorang buruh maut akibat tertimbus dengan tanah liat ketika sedang bekerja di sebuah kilang simen di Jelai, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, Md Jalil, 34, seorang warga Bangladesh maut ketika sedang melakukan kerja penyelenggaraan sebuah silinder penyukat tanah atau feed bin yang mengalami kerosakan.

Kejadian itu turut mengakibatkan abang mangsa dikenali sebagai Razaul dan seorang penyelia warga tempatan, Mohd Jefri Mohd Amin, kedua-duanya berusia 30-an, cedera ringan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jaafar Yusof berkata, sebuah jentera membabitkan tujuh anggota bergegas ke lokasi kemalangan setelah menerima panggilan kecemasan.

“Berdasarkan keterangan saksi, sebelum kejadian mereka sedang memasang stagging bagi tujuan penyelenggaraan kerosakan. Md Jalil berada di dalam feed bin untuk kerja penyelenggaraan itu.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba tempat penahan tanah liat yang terletak di bahagian atas patah menyebabkan tanah liat setinggi enam meter runtuh lalu menghempap mangsa.

“Razaul dan Jefri yang ketika itu berada di luar feed bin turut alami kecederaan  ringan akibat terkena tanah itu,” katanya.

Menurutnya, beberapa pekerja cuba mengeluarkan mangsa tetapi gagal sebelum mereka bertindak menghubungi bomba.

“Setibanya di lokasi, kita dapati mangsa berada dalam keadaan tertiarap. Terdapat kesan darah di bahagian hidung.

“Beberapa pekerja dikatakan cuba mengeluarkan mangsa dengan cangkul tetap gagal kerana kaki mangsa tersangkut dalam tanah liat yang padat.

“Pasukan bomba ambil masa kira-kira 20 minit untuk keluarkan mangsa dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini untuk bedah siasat, sementara manga cedera menerima rawatan di hospital sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Luqman Abd Rahman berkata, polis masih menjalankan siasatan dan menunggu keputusan bedah siasat.

“Mayat mangsa akan diserahkan semula kepada majikan untuk proses pengurusan seterusnya,” katanya.

Sinar Harian 29 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment