February 10, 2016

Lebih 3,000 mangsa banjir dipindah

Fenomena air pasang besar yang melanda beberapa kampung serta jalan di Kuching, termasuk Kampung Bintawa. - Foto JEAKQLYN YACHO

Keadaan Kampung Bintawa, Kuching, yang dilanda air pasang besar hari ini. - Foto JEAKQLYN YACHO

Kuching: Bacaan paras air Sungai Sarawak terus meningkat dengan catatan tertinggi di Jambatan Bau iaitu 13.83 meter melebihi paras bahaya 12.86 meter setakat jam 7.30 malam tadi.

Setakat jam 8 malam tadi, mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 3,230 mangsa daripada 829 keluarga berbanding 2,679 jam 4 petang tadi.

Mangsa ditempatkan di 25 pusat pemindahan sementara di Kuching dan Bau.

Turut menunjukkan peningkatan ialah di Baraj Sungai Sarawak (3.30 meter melebihi paras bahaya 3.20 meter), Jambatan Satok (2.99 meter), Lebaan, Rajang Sibu (2.72 meter) dan Nanga Lemai, Balingian Mukah (3.90 meter).

Bacaan di Telemetry Batu Kitang, Sungai Sarawak, ialah 5.20 meter, Kuala Maong, Sungai Sarawak (2.86 meter) dan Jambatan Batu Kawa (5.48 meter).

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, paras air sungai ada yang menunjukkan penurunan dan ada mendatar bergantung kepada air pasang besar dan jumlah hujan.

myMetro 9 Februari 2016


Limpahan air Sungai Sarawak


Premis perniagaan di Kuching ditutup berikutan dinaiki air. - Foto Ihsan Bomba

Jalan raya di tengah bandar raya Kuching yang ditenggelami air. - Foto Ihsan Bomba


Kuching: Air pasang besar setinggi 6.1 meter menyebabkan kawasan penempatan di sepanjang Sungai Sarawak termasuk Jalan Gambier dan Lebuh India di Bandaraya Kuching dinaiki air.

Air pasang besar yang bermula jam 5 petang tadi menyebabkan air sungai melimpah dengan kawasan rendah dinaiki air secara mendadak sehingga sedalam satu meter.

Tinjauan Harian Metro di kawasan Kampung Boyan, Gersik di sini, mendapati 17 gerai di Medan Selera kampung itu tidak beroperasi berikutan dinaiki air.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak berkata, hujan disertai air pasang besar menyebabkan penduduk di Kampung Gita Laut dan Kampung Panglima Seman dipindahkan ke tempat selamat.

Katanya, proses pemindahan penduduk masih dijalankan dengan penduduk di tempatkan di Dewan Masyarakat Kampung Pulo.

"Air pasang besar dijangka berlaku sekali lagi pada jam 5 pagi esok," katanya.

myMetro 9 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment