February 8, 2016

Jenazah Duta Besar Malaysia ke Switzerland selamat tiba


Sepang: Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah berangkat ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, petang tadi bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Duta Besar Malaysia ke Switzerland, Datuk Mohd Zulkephli Mohd Noor.

Turut sama menyambut ketibaan jenazah ialah Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Othman Hashim, Duta Besar Switzerland ke Malaysia Michael Winzap dan ahli keluarga Allahyarham.

Jenazah tiba di KLIA dengan pesawat Lufthansa Airlines (LH782) pada 5.25 petang tadi sebelum di bawa ke anjung Kompleks Bunga Raya kira-kira jam 6.35 petang untuk diberi penghormatan terakhir oleh Tengku Abdullah.

Selepas majlis penghormatan terakhir di anjung Kompleks Bunga Raya, jenazah kemudian dibawa ke Masjid Sultan Abdul Samad KLIA untuk disembahyangkan sebelum ke kampung halamannya di Muar, Johor untuk dikebumikan.

myMetro 7 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment