February 23, 2016

Dugaan tiga beranak, rumah pusaka hangus


Khalidi melihat keadaan rumah pusaka miliknya yang hangus menyebabkan dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang. Gambar kanan: Api marak membakar rumah pusaka milik Khalidi dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi semalam.

BATU PAHAT – Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka berusia 45 tahun di Jalan Pesesai, hangus dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi semalam.

Pemilik rumah, Khalidi Atan, 58, berkata, ketika kejadian, anaknya, Amir Rahimi, 16, berada di sekolah sementara isterinya, Hamidah Yasin, 49, berada di rumah adiknya.

Katanya, sebaik menerima berita mengenai kejadian itu, dia terus bergegas pulang kerana bimbang keselamatan isterinya.

“Saya berdebar-debar untuk tahu kejadian sebenar, namun saya terus lega bila lihat isteri dan juga anak berada di halaman rumah bersama-sama jiran.

"Saya terus menerpa ke arahnya (isteri) untuk lihat sama ada dia tercedera atau tidak. Syukur dia tak cedera kerana ketika kejadian, dia berada di rumah adiknya yang tinggal berhampiran dengan rumah kami," katanya.

Katanya, dia bersyukur walaupun rumah peninggalan ayah dan ibunya itu hangus, namun tiada kemalangan jiwa berlaku.

Khalidi yang bekerja sebagai kerani di Sekolah Kebangsaan (SK) Peserian, Semerah berkata, semua harta benda serta dokumen penting milik mereka hangus.

 "Nasib baik kereta kami sempat diselamatkan...itupun jiran terpaksa pecahkan tingkap untuk pindahkannya supaya tak dijilat api.

"Buat masa ini kami tinggal di rumah saudara berhampiran sehingga  rumah baharu akan dibina semula oleh pihak yang berwajib,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, kesedihan Khalidi sedikit terubat teselepas mendapat perhatian Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu Pahat, Adnan Md Yassin yang turut memberikan sumbangan sebanyak RM5,000 melalui Bantuan Malapetaka serta beberapa barangan asas lain seperti selimut, beras dan sebagainya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Mohd Khalid, Saif Ab Rahim berkata, seramai 16 anggota bersama-sama dua jentera dikejarkan di tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

"Setibanya di lokasi, rumah papan tersebut sedang terbakar dan kita dapat mengawal api daripada merebak ke rumah sebelah.

"Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sinar Harian 23 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment