February 23, 2016

Enam sekeluarga terselamat

Rumah dua tingkat yang musnah dalam kebakaran.

BATU KURAU - Enam sekeluarga termasuk seorang wanita dalam pantang terselamat dalam satu kebakaran di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Batu 14, di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu dipercayai bermula dari tingkat atas rumah menyebabkan wanita berkenaan yang baru seminggu bersalin, bersama empat anaknya berusia tujuh hari hingga tujuh tahun dan ibu mentua lari menyelamatkan diri.

Zainab Abd Rahman, 66, berkata, ketika kejadian kesemua mereka baru sahaja lepas menikmati makan tengah hari dan masing-masing berehat di bahagian bawah rumah.

Menurutnya, dalam tempoh itu, terdengar letupan dari bahagian atas rumah menyebabkan dia bergegas ke tingkat atas untuk meninjau keadaan.

“Saya sangat terkejut bila nampak api tengah marak, waktu tu dah tak boleh nak fikir apa. Cuma nak selamatkan diri sahaja.

“Saya cepat-cepat turun bawah dan bantu menantu dengan empat cucu termasuk bayi keluar selamatkan diri,” katanya.

Zainab berkata, keadaan api yang cepat merebak menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen penting.

“Kami bersyukur tiada ahli keluarga yang cedera,” katanya

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, sebaik tiba di lokasi kebakaran kira-kira jam 4 petang, kita dapati rumah dua tingkat jenis kelas B musnah 85 peratus.

“Kerja pemadaman turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping serta Bomba Sukarela Batu Kurau.

“Semua yang tinggal di rumah berkenaan selamat kerana berjaya menyelamatkan diri sebelum api merebak,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini punca kejadian dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.

“Api berjaya dikawal dalam tempoh masa 30 minit dan operasi selesai sepenuhnya sekitar jam 7.55 petang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut hadir menziarahi ke rumah mangsa dan menghulurkan bantuan awal kepada keluarga berkenaan bagi meringankan beban mereka.

Sinar Harian 23 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment