February 29, 2016

Buruh Indonesia maut dihempap traktor

Keadaan traktor yang meragut nyawa mangsa.

TANAH MERAH - Seorang buruh Indonesia maut selepas dihempap jentera pengangkut kelapa sawit, manakala rakan sekerjanya cedera dalam kejadian di Jalan Blok 21 TT, Ladang Kelapa Sawit Tebing Tinggi Kusial Bharu, dekat sini, pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 10 pagi, mangsa dikenali Semawar yang berada di atas jentera penarik itu mati akibat kecederaan parah di kepala, manakala rakannya dikenali Slimudin yang memandu traktor penarik jentera pengangkut kelapa sawit terbabit cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan mengangkut kelapa sawit ke blok lain di ladang berkenaan.

"Apabila sampai di satu simpang empat, traktor terbabit dipercayai tergelincir hingga menyebabkan pemandu dan mangsa yang berada di belakang tercampak ke bahagian kanan traktor.

"Pada masa sama, pengangkut yang ditarik traktor ini turut terbalik dan menghempap mangsa," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Suzaimi, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat, manakala rakan mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sinar Harian 28 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment