February 29, 2016

Penunggang motosikal maut, kemalangan dua kenderaan

Mangsa maut di tempat kejadian selepas terlibat kemalangan di Kilometer 44.6 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi.

KOTA TINGGI - Seorang penunggang motosikal maut manakala rakannya cedera selepas terlibat kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 44.6 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi kira-kira satu kilometer dari persimpangan masuk ke Teluk Sengat, malam tadi.

Mangsa, Abdullah Ishak, 29 beralamat di Felda Air Tawar 4 maut di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata kemalangan yang berlaku kira-kira jam 8.40 malam itu melibatkan sebuah motosikal Honda EX5 yang ditunggang mangsa dengan sebuah Proton Savy.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dari arah Kota Tinggi menghala ke Sungai Rengit telah masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Savy yang datang dari arah Sungai Rengit ke Kota Tinggi.

"Akibat pelanggaran itu penunggang motosikal telah mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala pemboncengnya Mohd Shahril Mislan, 25 dan pemandu Proton Savy telah dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk menerima rawatan lanjut,"katanya.

Rahmat berkata, hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan jalan dua hala yang lurus mempunyai garisan putih berkembar di tengah jalan sebagai pembahagi jalan.

Katanya lagi, permukaan jalan juga kering dan cuaca berada dalam keadaan baik pada waktu kejadian.

"Keadaan kawasan persekitaran gelap kerana ketiadaan lampu jalan. Mayat mangsa dibawa ke HKT untuk urusan bedah siasat. Manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"katanya lagi.

Difahamkan, mangsa yang sudah mendirikan rumah tangga dan bekerja di sebuah bengkel dekat tempat tinggalnya turut mempunyai seorang anak hasil perkahwinan bersama isterinya.

Sinar Harian 28 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment