February 16, 2016

Bakar rumah, 200 rumah lain terbakar

Sandakan: Lelaki berusia 33 tahun dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, sebentar tadi, kerana membakar rumahnya sehingga menyebabkan hampir 200 lagi rumah turut musnah di Kampung Disayang, Batu Sapi, awal bulan ini.

Hakim Egusra Ali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Saudin Musa, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat dengan api.

Mengikut fakta kes, Saudin menyerang rumah penduduk di Kampung Disayang, pada 9.30 malam 4 Februari lalu menggunakan pedang samurai.

Siasatan polis juga mendapati tertuduh mengamuk selepas mendakwa dibelasah beberapa lelaki tidak dikenali ketika menghidu gam pada 5.30 petang hari yang sama.

Bapa tertuduh juga membuat laporan polis mendakwa tertuduh pulang ke rumah dalam keadaan mengamuk sambil memegang pedang samurai, sebelum membakar biliknya menyebabkan rumah tertuduh dan hampir 200 rumah lain musnah.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faisal Mohd Noor meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengutamakan kepentingan awam dan latar belakang tertuduh yang pernah disabitkan kesalahan mencabul, pecah rumah dan penyalahgunaan dadah.

myMetro 16 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment