February 16, 2016

Beberapa kawasan di Kuching banjir kilat

Jalan di Taman Malihah, Kuching ditenggelami banjir kilat pagi tadi. FOTO ihsan bomba

Kuching: Hujan lebat sejak 6 pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini dilanda banjir kilat.

Beberapa kawasan terbabit termasuklah di Petra Jaya, Batu Kawa, Matang dan Lundu apabila beberapa laluan masuk ke kawasan itu ditenggelami air.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan, berkata taburan hujan luar biasa itu menyebabkan berlaku peningkatan mendadak paras air Sungai Sarawak sekali gus menyebabkan kawasan itu dilanda banjir kilat.

Katanya, sistem saliran yang tidak sempurna disebabkan projek pembinaan turut menyumbang kepada berlakunya banjir kilat di lokasi terjejas.

"Baraj Sungai Sarawak ketika ini mencatatkan bacaan paras air 8.5 meter dengan pihak pengurusan dijangka membuka pintu baraj pada 1 tengah hari ini bagi mengalirkan lebihan air sungai ke laut.

"Ini bagi mengelak keadaan lebih buruk di sekitar bandar raya dan keadaan dijangka reda selepas pintu baraj dibuka walaupun berlaku hujan lebat berterusan," katanya.

Justeru katanya, penduduk di kawasan berisiko banjir dinasihatkan supaya berwaspada selain mematuhi arahan sekiranya diminta berpindah.

myMetro 16 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment