February 11, 2016

Awasi anak pakai kasut getah lembut

Putrajaya: Pemakaian sandal atau kasut getah yang lembut oleh kanak-kanak perlu diberi perhatian lebih dan diawasi dengan sebaik mungkin oleh penjaga kerana ia lebih mudah ditarik atau tersangkut pada eskalator yang sedang bergerak.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam satu kenyataan berkata, tanggungjawab terhadap tahap keselamatan penggunaan eskalator terletak pada pemilik premis yang mempunyai tangga elektrik berkenaan dan pengguna sendiri.

Katanya, pemilik premis perlu memastikan ia diselenggara mengikut jadual ditetapkan dan dipastikan ianya sentiasa beroperasi dalam keadaan yang baik tanpa risiko keselamatan.

"Sementara pengguna lebih berhati-hati dan berwaspada ketika menggunakan eskalator termasuk memasti serta mengawasi anak yang dibawa supaya sentiasa berada didalam kedudukan yang betul iaitu kaki berada dalam kawasan yang ditetapkan.

"Pengguna juga perlu mematuhi setiap arahan dan tatacara penggunaan yang disediakan oleh pihak pemilik bagi mengelakkan kemalangan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, 31 kes kemalangan membabitkan eskalator diterima pihak jabatan dari 2011 sehingga Mei 2015.

myMetro 10 Februari 2016


Tidak ramai pimpin tangan anak di eskalator

Kuala Lumpur: Hanya tujuh daripada 20 ibu bapa atau penjaga kanak-kanak didapati memimpin tangan kanak-kanak yang di bawa ketika menggunakan eskalator.

Itu hasil tinjauan wartawan Harian Metro terhadap gelagat orang dewasa yang membawa kanak-kanak berusia antara tiga hingga 10 tahun ketika menggunakan tangga eskalator di sebuah hab pengangkutan bersepadu di sini selama satu jam bermula 10 pagi tadi.

Biarpun media kerap melaporkan insiden kemalangan membabitkan kaki atau tangan kanak-kanak tersepit kerana kecuaian ketika menggunakan eskalator, ia seolah-olah tidak memberi pengajaran kepada mereka.

Sebaliknya, ibu bapa atau penjaga dilihat lebih mengutamakan untuk memegang atau menggalas beg pakaian yang dibawa manakala kanak-kanak dibiarkan menggunakan sendiri tangga berkuasa elektrik itu.

Tinjauan juga mendapati, ibu bapa lebih gemar mengawasi anak-anak mereka dengan pandangan dan bukannya memimpin tangan bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.

myMetro 10 Februari 2016 

0 comments:

Post a Comment