February 19, 2016

Anak sulung korban denggi

ZURAINI bersama Alias Ishak menujukkan gambar Muhammad Danial yang meninggal akibat demam denggi.

Georgetown: “Tiada lagi gelak tawa mencuit hati setiap hari apabila arwah pergi meninggalkan kami semua buat selama-lamanya,” kata ibu Muhammad Danial Alias, 20, yang meninggal dunia akibat denggi di Hospital Pulau Pinang (HPP), 29 Januari lalu.

Zuraini Yaakob, 50, berkata, arwah anak sulung daripada tiga beradik disahkan menghidap denggi selepas dimasukkan ke HPP, 23 Januari lalu kerana demam teruk.

Menurutnya, arwah yang bekerja di bengkel kereta di Seberang Jaya menerima rawatan selama seminggu sebelum keadaannya bertambah teruk hingga menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga dan dikebumikan di Sungai Dungun, Bagan Serai, Perak.

“Kehilangan arwah masih terasa hingga hari ini dan tiada lagi keceriaan serta kegembiraan sejak arwah tiada kerana rumah ini sunyi memandangkan arwah suka bergurau dan pandai mengambil hati serta rajin.

“Sebagai ibu, saya reda dan menerima ketentuan Allah dengan hati terbuka walaupun amat sedih,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di rumahnya di Air Itam di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis negeri Datuk Abdul Ghafar Rajab dan Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.

myMetro 19 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment