January 31, 2016

Wanita warga emas ditemui mati bersendirian di rumah

IPOH - Seorang wanita warga emas ditemui mati terbaring di kediamannya di Batu 17, Kampung Jeram dekat Kampar di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, mayat Mariatulkibtiyah Abdul Rahman, 85, ditemui kira-kira pukul 10.35 pagi oleh jirannya selepas terhidu bau busuk dari rumah mangsa sebelum menghubungi polis.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang perbuatan jenayah terhadap mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut dan tidak menolak kemungkinan mangsa yang tinggal berseorangan itu meninggal dunia kira-kira seminggu lalu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat, katanya. - Bernama

30 Jan 2016


Ditemui terbaring di lantai


Kampar : Wanita warga emas yang tinggal bersendirian ditemui mati dirumahnya di Kampung Jeram, di sini, pagi ini.

Mariatulkibtiyah Abdul Rahman, 85, ditemui terbaring atas lantai rumahnya, pada 10.35 pagi.

Arwah dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira seminggu lalu.

Difahamkan, mayat mangsa ditemui sukarelawan yang ingin menziarah mangsa sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata sebaik mendapat maklumat pihaknya ke lokasi kejadian dan mendapati mayat wanita terbabit sudah busuk.

Katanya, mayat itu kemudian dihantar ke Hospital Kampar.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya.

myMetro 30 Jan 2016


Pergi sebelum bantuan tiba

Kampar: Sekumpulan sukarelawan sebuah universiti swasta tidak sempat menyerahkan bantuan kepada seorang warga emas yang tinggal bersendirian di Kampung Jeram, di sini, sebaliknya menemui mayat wanita itu, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.35 pagi, Mariatulkibtiyah Abdul Rahman, 85, ditemui kumpulan pelajar berkenaan terbaring di lantai dan sudah berbau serta dipercayai meninggal dunia seminggu lalu.

Seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Loong, 22, berkata, sebaik tiba di rumah warga emas terbabit mereka terhidu bau busuk dan menjangka sesuatu buruk berlaku selepas memanggil mangsa beberapa kali namun tiada sahutan.

“Saya mengumpil tingkap cermin sebelum terkejut melihat mangsa terbaring di lantai dalam keadaan yang sangat menyayat hati.

“Kami memberi bantuan sebagai sukarelawan kepada mangsa sejak kira-kira setahun lalu dan kali ini kami berjaya mengumpul sumbangan dari pelajar universiti serta ingin memberikan kepadanya namun hajat kami tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, sebelum ini beberapa pihak memujuk mangsa berpindah ke pusat jagaan warga emas namun dia enggan dan atas sebab itu, mereka secara sukarela memberi bantuan makanan kepadanya setiap bulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikesan di lokasi kejadian.

“Berdasarkan mayat yang sudah berbau, mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira seminggu lalu.

“Mayat dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.

myMetro 31 January 2016

0 comments:

Post a Comment