January 23, 2016

Treler, 9 kereta musnah terbakar

Treler dan kereta yang terbakar. FOTO ihsan bomba

Kuala Kubu Bharu: Treler bersama muatan sembilan kereta Perodua untuk dijual musnah dalam kebakaran di Kilometer 400.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara selepas susur masuk Plaza Tol Tanjung Malim malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam itu, treler yang dalam perjalanan ke utara dipercayai mengalami masalah tayar menyebabkannya terbakar sebelum api merebak ke seluruh kenderaan berat itu.

Treler itu membawa enam kereta Perodua Axia, dua Myvi dan sebuah Alza.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, bomba menerima panggilan pada 10.04 malam dan tiba di lokasi setengah jam kemudian.

"Dipercayai api berpunca daripada tayar belakang. Pemandu treler yang menyedari kejadian itu berhenti untuk melihat keadaan tayar belakang yang berasap sebelum mendapati ia terbakar dan merebak dengan cepat.

"Bomba berjaya memadamkan kebakaran itu pada 11 malam. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

myMetro 23 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment