January 23, 2016

'Tidur' mulut berdarah

ANGGOTA polis memeriksa mayat yang ditemui dalam kereta.

Port Dickson: “Sejak Rabu lalu saya ternampak kereta itu tersadai di tepi pantai. Pada awalnya saya tidak ambil peduli, tetapi selepas tiga hari tidak bergerak, saya mula curiga,” kata pekerja pembersihan SWM Environment Sdn Bhd mahu dikenali sebagai Letchumy, 42.

Letchumy berkata, dia menemui mayat seorang lelaki dalam kereta Honda Hybrid di tepi Pantai 3, Batu 8, Telok Kemang, berhampiran Hotel Kok Meng, di sini, jam 9 pagi, semalam.

Katanya, sebaik mendekati kenderaan itu, dia ternampak seorang lelaki sedang tidur di tempat duduk pemandu dan mulutnya berdarah.

“Sehubungan itu, saya cuba membuka pintu kenderaan, tetapi berkunci. Bimbang sesuatu buruk berlaku saya menghubungi pihak polis,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut apabila siasatan dijalankan anggota polis dan bomba mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia.

“Sewaktu membersihkan kawasan ini pada Rabu lalu, kenderaan itu sudah berada di tepi pantai. Apabila semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam) ia masih ada, saya mendekati untuk memeriksanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Baharuddin Mustapha berkata, lelaki berusia 20-an itu dipercayai meninggal dunia dalam keretanya sejak tiga hari lalu.

“Mayat dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD), di sini, untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR).

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Telok Kemang Kasim Arifin berkata, pihaknya yang menerima panggilan pada jam 10 pagi mengerahkan tujuh anggota ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba 10 minit kemudian, anggotanya memerlukan enam minit untuk membuka pintu kenderaan.

“Mayat diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke HPD untuk tindakan lanjut,” katanya.

myMetro 23 Jan 2016


Terkejut temui mayat dalam kereta

TELOK KEMANG -  Misteri sebuah kereta jenis Honda Hybrid yang diparkir di tempat letak kereta di hadapan sebuah hotel bajet di Pantai 3 Telok Kemang sejak tiga hari lalu, terungkai apabila seorang pekerja SWM Environment Sdn Bhd menemui mayat lelaki di dalamnya.

Sinar Harian difahamkan, kejadian itu disedari pekerja berkenaan yang sedang melakukan kerja pembersihan di kawasan pantai tersebut.

Pekerja berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia menyedari kereta itu diparkir di kawasan itu sejak tiga hari lalu dalam keadaan reverse parking.

“Tadi (semalam) saya tengok kereta tu masih ada lagi, dan saya beranikan diri untuk dekat dan tengok ke dalam kereta melalui tingkap.

“Terperanjat bila nampak ada orang di dalam kereta tu dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu. Saya terus beritahu rakan dan maklumkan kepada petugas hotel berdekatan supaya hubungi polis,” katanya yang kali pertama berdepan dengan situasi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baharudin Mustapha berkata, si mati adalah seorang lelaki berbangsa Cina berusia 25 tahun berdasarkan pengenalan diri ditemui bersamanya, lelaki berkenaan berasal dari Subang Jaya dan merupakan seorang ejen insurans.

Menurutnya, polis menerima laporan kejadian pada jam 7.48 pagi semalam dan sebaik tiba di lokasi mendapati enjin kenderaan itu masih hidup.

“Bagaimanapun enjin kereta itu berhenti dalam lima minit kemudian, mungkin disebabkan kehabisan minyak dan pintu terkunci dari dalam.

“Polis mendapatkan bantuan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang untuk membuka pintu kenderaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Baharudin berkata, berdasarkan siasatan, polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku ke atas mangsa.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh hampir tiga hari dan polis juga telah menghubungi abang mangsa untuk proses pengecaman,” katanya

Sinar Harian 23 Januari 2016




0 comments:

Post a Comment