January 31, 2016

Tidak waras ketika bunuh anak OKU

Taiping: Seorang bapa didapati bersalah membunuh anak sulungnya yang juga orang kurang upaya (OKU) pada Disember 2014 oleh Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Abdul Harif Mohamad, 48, didapati bersalah membunuh anaknya Ahmad Solehin yang ketika kejadian berusia 21 tahun di kediaman mereka di Jalan Terusan, Simpang Lima, Parit Buntar, dekat sini antara jam 5.30 pagi hingga 7.30 pagi 9 Disember 2014.

Pesara tentera itu, bagaimanapun diarahkan ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta seberapa lama hingga mendapat perkenan pengampunan Sultan Perak.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas berpuas hari dengan keterangan yang diberikan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Menurutnya, Abdul Harif didapati bersalah melakukan kesalahan mengikut 302 Kanun Keseksaan, namun dia didapati dalam keadaan akal tidak waras dan tidak mengetahui akan akibat perbuatannya itu ketika kejadian berlaku.

Abdul Harif yang diwakili peguam Rajit Singh dan pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari.

Dalam kejadian 9 Disember 2014, seorang lelaki lembam ditemui mati dalam keadaan terlentang atas tilam dan leher dijerut dengan getah pengikat barang.

Bapa kandungnya yang juga suspek turut ditemui tidak sedar diri bersebelahan mangsa.

myMetro 27 January 2016

0 comments:

Post a Comment