January 31, 2016

Pensyarah disyaki seleweng RM14 juta

Alor Setar: Pensyarah kanan wanita di universiti awam di utara semenanjung ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah selepas disyaki terbabit dalam penyelewengan tuntutan peruntukan penganjuran program membabitkan nilai hampir RM14 juta.

Sumber berkata, suspek berusia 40-an ditahan ketika hadir ke pejabat SPRM negeri di Bangunan Persekutuan, di sini, kira-kira 11 pagi semalam untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan yang dipercayai dilakukan ketika menjawat kedudukan sebagai Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC).

"Siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Perlis itu membuat tuntutan hampir RM14 juta bagi penganjuran kira-kira 300 program oleh Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) melalui CUIC, di bawah Kementerian Pelajaran antara tempoh 2012 dan 2015 lalu.

"Hasil siasatan dijalankan mendapati timbul keraguan dalam isu berkenaan dan sehingga kini kita masih menyiasat tuntutan membabitkan nilai peruntukan kira-kira RM14 juta yang dibuat melalui lebih 10 syarikat disyaki milik kroni itu," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Katanya, sehingga kini siasatan dijalankan SPRM mengesan RM500,000 daripada jumlah keseluruhan wang RM14 juta tuntutan yang dibuat, manakala bakinya masih dalam siasatan selain turut menahan suspek bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan dan siasatan dilakukan, namun enggan mengulas lanjut.

Manakala, pensyarah wanita terbabit dibawa ke Mahkamah Sesyen, di sini, pagi ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

myMetro 28 January 2016

0 comments:

Post a Comment