January 5, 2016

Suspek 'wanita' curi emas ditahan

Marang: Polis menahan lelaki berusia 35 tahun yang menyamar sebagai wanita sebelum mencuri satu dulang emas dianggarkan bernilai RM200,000 di kedai emas di Pekan Bukit Payong, Marang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, suspek yang berasal dari Negeri Sembilan ditahan kira-kira 11 malam semalam di rumah sewanya di Kampung Rhu Dua, di sini.

Beliau berkata, sebelum kejadian itu, suspek datang ke premis berkenaan dan menjual cincin kira-kira 4.30 petang pada 30 Disember lalu dipercayai untuk memerhatikan keadaan sekeliling.

"Hasil serbuan, polis menemui sebahagian barang kemas yang dipercayai diambil dari kedai emas berkenaan yang dianggarkan bernilai RM80,000.

"Kita percaya dapat mencari barangan kemas lain yang dipercayai sudah dijual dan disembunyikan suspek dalam masa terdekat.

"Siasatan mendapati suspek kini sedang menjalani sekatan mengikut Seksyen 6(3) Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985 di Mukim Rusila bermula 2013 hingga 2017.

"Suspek yang positif dadah jenis morfin dan methamphetamine kini direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang media di IPD Marang.

myMetro 4 January 2016


Dirompak ketika solat asar

RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek mencuri barang kemas. FOTO ihsan pembaca

Marang: Peniaga kedai emas menanggung kerugian RM200,000 apabila satu dulang emas milik kedai emasnya dilarikan pencuri wanita di Pekan Bukit Payung, di sini, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku ketika isteri kepada pemilik kedai emas itu menunaikan solat asar dan menutup kedai tanpa menguncinya kira-kira 4.30 petang.

Bagaimanapun, kejadian itu hanya disedari kira-kira 5 petang apabila isteri mangsa melihat sedulang emas mengandungi pelbagai jenis emas yang berada di dalam bahagian cermin dipasang jerejak sudah tiada lalu menghubungi suaminya berusia 53 tahun.

Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang wanita masuk ke dalam kedai emas berkenaan sebelum mengambil dulang itu dengan menghulurkan tangannya ke dalam tempat penyimpanan emas membabitkan kerugian dianggarkan bernilai RM200,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan suspek dengan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan.

myMetro 3 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment