January 23, 2016

Penjenayah tersungkur, peluru kena rusuk kiri

Taiping: Polis menembak mati seorang lelaki dan menahan dua lelaki disyaki ahli geng mamak di Plaza Tol Changkat Jering, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman dengan bantuan anggota Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, mengesan ketiga-tiga lelaki terbabit menaiki kereta jenis Volkswagen Passat memasuki kawasan Taiping selepas dipercayai baru melakukan samun di Rasah, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Perak Datuk Osman Salleh berkata, polis yang berjaya mengesan suspek kemudiannya cuba menghalang kenderaan berkenaan namun suspek bertindak ganas dengan melanggar kenderaan polis berkali-kali bagi melepaskan diri.

Katanya, anggota terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek dan tembakan itu mengenai rusuk kiri pemandu kereta menyebabkannya mati di tempat kejadian.

“Dua penumpang kereta berjaya ditahan. Sebuah lagi kereta jenis BMW 5 Siri dipandu seorang lelaki dipercayai rakan suspek kemudiannya cuba ditahan polis namun dia berjaya melepaskan diri dengan melanggar kenderaan polis sebelum mengundur kenderaannya dan melarikan diri.

“Kereta BMW itu ditemui di kilometer 237.7 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan berhampiran Kuala Kangsar, namun suspek sudah melarikan diri,” katanya pada sidang media di IPD Taiping, sini, malam tadi.

Menurutnya, lelaki yang ditembak mati itu berusia 38 tahun dan mempunya tiga rekod jenayah membabitkan dua kes dadah dan satu kes rogol manakala dua yang ditahan masing-masing berusia 31 dan 35 tahun turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan curi kenderaan.

Katanya, mereka disyaki ahli geng mamak.

"Semua suspek dipercayai baru menyamun seorang mangsa yang baru keluar dari bank di Rasah, Negeri Sembilan.

“Hasil pemeriksaan dalam kereta Volkswagen Passat berkenaan menemui dua parang, lima nombor pendaftaran kenderaan, satu topi berlogo polis, satu topi berlogo kastam dan wang tunai berjumlah RM2,400 yang dipercayai baru disamun,” katanya.

Katanya, pemeriksaan dalam kereta BMW yang ditinggalkan seorang lagi suspek pula menemui empat parang, satu gari, satu pistol, beberapa butir peluru, gari, dua vest polis dan topeng muka.

"Hasil semakan mendapati kedua-dua kereta adalah kereta curi yang dilaporkan hilang di Bukit Raja, Klang, dan Ulu Bernam, Perak, tahun lalu.

"Tiga kenderaan polis yang digunakan mengalami kerosakan teruk akibat dilanggar secara berkali-kali oleh suspek," katanya.

myMetro 23 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment