January 5, 2016

Nikmati juadah terakhir hidangan ketam lembut

MANGSA maut di tempat kejadian selepas dilanggar kereta.

Bagan Serai: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dirempuh kereta di Jalan Gula, Gunung Semanggol, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, Mohd Hisyam Abd Hamid, 37, maut di tempat kejadian selepas parah di badan akibat dirempuh Kia Spectra.

Rakan mangsa berkata, arwah merancang ke restoran di Kuala Gula, di sini, secara konvoi kerana ingin menikmati hidangan ketam lembut bersama rakan.

Katanya, arwah begitu teruja merancang konvoi itu dan tidak menyangka ia petanda terakhir dia pergi buat selamanya.

Menurutnya, dalam perjalanan pulang, motosikal arwah rosak menyebabkan mereka menolak sebelum kenderaan itu tersentak-sentak secara tiba-tiba.

“Arwah terjatuh di tengah jalan sebelum dilanggar kereta dari belakang menyebabkan dia meninggal di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berasal dari Kulim, Kedah dikatakan dalam perjalanan pulang bersama empat rakan selepas menikmati hidangan di restoran berkenaan.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987,” katanya.

myMetro 5 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment