January 5, 2016

Potong tak lepas

KEADAAN kereta selepas rempuh lori.

Sungai Petani: “Saya terkejut apabila melihat kereta dipandu mangsa masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori tangki,” kata Fauzi Bakar, 53, yang melihat Proton Saga dipandu seorang wanita bertembung dengan lori tangki membawa muatan kapur di Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil berhampiran persimpangan Jalan Sidam Kiri, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, Nur Azirah Wahab, 20, dari Kampung Banggol Berangan, Baling, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman manakala rakan lelakinya, Mohd Sadri Lazim, 34, cedera ringan dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk rawatan.

Fauzi berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari Sungai Petani menuju ke Tawar, Baling dan berada tidak jauh di belakang kereta dipandu mangsa.

Menurutnya, sebaik tiba berhampiran persimpangan itu, kereta dipandu mangsa dilihat cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum merempuh lori tangki dari arah bertentangan.

“Akibatnya kereta itu remuk dan diseret sejauh beberapa meter menyebabkan saya terkejut kerana melihat kejadian berlaku di depan mata.

“Saya memberhentikan kereta dan bergegas membantu mangsa dengan cuba menariknya keluar dari kereta, tetapi gagal disebabkan kakinya tersepit.

“Ketika itu keadaan mangsa parah di muka dan tenat, namun saya sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah dua kali sebelum dia meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Ibu mangsa, Asiah Ahmad, 36, berkata, dia terkejut melihat jenazah anak perempuannya sebaik tiba di tempat kejadian kerana tidak menyangka sama sekali arwah meninggal dunia akibat kemalangan.

“Azirah keluar dari rumah kami jam 10 pagi sebelum bersama rakannya ke bandar Sungai Petani untuk mencari kerja.

‘Saya menerima SMS memberitahu dia dalam perjalanan pulang ke rumah, namun tidak lama selepas itu saya menerima panggilan keretanya terbabit dalam kemalangan.

“Bagaimanapun, saya tidak tahu Azirah meninggal dunia kerana hanya dimaklumkan anak terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta mangsa memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori tangki.

“Mangsa mati di tempat kejadian, rakannya cedera ringan manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Jenazah dihantar ke Jabatan Forensik HSAH untuk bedah siasat,” katanya.

myMetro 5 Jan 2016


0 comments:

Post a Comment