January 27, 2016

Misteri beg hitam


ANGGOTA polis memeriksa beg hitam yang diletupkan di Taman Ria Jaya minggu lalu.

Sungai Petani: Kemunculan dua lelaki misteri menaiki sebuah skuter sebelum meletakkan beg hitam di bawah pokok berhampiran Flat Paya Nahu di Taman Ria Jaya di sini, Sabtu lalu menimbulkan tanda tanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang, dua lelaki tidak dikenali berusia 40-an dilihat dalam keadaan mencurigakan sambil membawa sebuah ‘briefcase’ hitam sebelum meletakkannya di bawah pokok.

Sumber berkata, tindakan lelaki berkenaan disedari penduduk sebelum menegur dan mereka menjawab mahu memberi beg itu kepada rakan yang tinggal di flat berkenaan, tetapi melarikan diri apabila dihampiri.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu kemudian memecut ke arah Jalan Bakar Sampah di sini, sebelum membuang beg berkenaan dalam semak di tepi lebuh raya sebelum menghilangkan diri.

Katanya, penduduk cuba mencari beg itu, namun gagal sebelum memaklumkan kepada polis.

“Bagaimanapun, dua lelaki terbabit sekali lagi dikesan orang awam di Taman Bersatu, kira-kira jam 11 malam hari sama membawa sebuah beg hitam dan cuba meletakkan beg itu di kawasan lapang di taman perumahan berkenaan.

“Penduduk yang menyedari perkara itu menegur mereka sebelum kedua-dua lelaki itu melarikan diri sebelum membuang beg dibawa ke dalam semak.

“Anggota polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi kejadian, namun pemeriksaan lanjut mendapati beg itu kosong dan didapati sama seperti beg hitam yang diletupkan Unit Pemusnah Bom (UPB) di Taman Ria Jaya di sini, pada 21 Januari lalu,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, belum diketahui motif sebenar tindakan dua lelaki berkenaan.

myMetro 27 January 2016


0 comments:

Post a Comment