January 27, 2016

Ghaib lepas hantar ke hospital

RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek lelaki menghantar mangsa ke Hospital Selayang sebelum menghilangkan diri.

Kuala Lumpur: Lelaki ‘misteri’ yang menghantar seorang anggota polis ke Wad Kecemasan Hospital Selayang, diburu polis selepas tindakan cuainya membuka pintu kereta mendadak menyebabkan mangsa cedera parah di kepala.

Dalam kejadian jam 10 malam Ahad lalu, lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu dipercayai meletakkan kenderaan di bahu jalan berhampiran simpang masuk ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, Selayang, di sini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, pemandu kereta itu berusia 20-an bertindak membuka pintu kereta secara mendadak.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan seorang anggota polis yang menaiki motosikal gagal mengelak sebelum terhumban jatuh.

“Anggota polis terbabit sepatutnya ditugaskan untuk ‘Ops Palu’ sempena sambutan Thaipusam di Batu Caves, di sini.

“Ketika kejadian, mangsa, Harrel Tapper, 23, dari Balai Polis Seri Muda, Shah Alam, dalam perjalanan ke Batu Caves untuk penugasan itu,” katanya.

Menurutnya, pemilik kenderaan model Proton Saga BML itu bagaimanapun membawa mangsa ke Unit Kecemasan Hospital Selayang, Gombak.

Markandan berkata, lelaki terbabit bagaimanapun menghilangkan diri sejurus menghantar anggota polis terbabit.

“Kami meminta lelaki terbabit tampil memberikan kerjasama untuk membantu siasatan. Malah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga sudah diambil untuk tindakan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut peraturan 10 LN 166/59 kerana gagal mengawal kenderaan semasa memandu dan menyebabkan kemalangan. Anggota polis terbabit dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Selayang,” katanya.

myMetro 27 January 2016



0 comments:

Post a Comment