January 23, 2016

Mayat bayi: Polis tahan tujuh pelajar perempuan

SETIU - Polis menahan tujuh pelajar perempuan sebuah kolej swasta di sini bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi perempuan di dalam loji kumbahan kolej itu pada 12 Januari lalu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata kesemua pelajar berusia antara 19 hingga 20 tahun itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas didapati tiada antara mereka yang baru melahirkan anak.

"Polis mengambil sampel DNA kesemua pelajar untuk membantu siasatan bagi mengetahui ibu bayi tersebut termasuk pihak yang melakukan pembuangan bayi itu," katanya.

Rosli berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Latihan Pasukan Gerakan Am dan Perkhemahan Tahunan Ops Gempur Kelapan Kor Suksis Unisza di Peladang Setiu Resort hari ini.

Katanya polis akan mencari petunjuk untuk mengesan suspek lain memandangkan mayat bayi itu ditemui ketika sebahagian besar pelajar kolej swasta itu pulang bercuti semester.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat itu ditemui terapung di dalam loji kumbahan kira-kira 3.30 petang oleh seorang pekerja kontrak pembersihan. - Bernama

21 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment