January 23, 2016

‘Kejut emak kalau tak kami bunuh’

JENGKA - “Bila saya buka mata, saya terkejut ada enam lelaki dengan parang di keliling saya. Mereka suruh kejut mama kalau tidak mereka nak bunuh saya,” kata Muhamad Amirul Rosdi mengenai detik cemas yang dihadapinya dalam kejadian samun di rumahnya di Felda Jengka 15, semalam.

Muhamad Amirul berkata, ketika kejadian kira-kira jam 2.35 pagi itu, dia sedang nyenyak tidur di ruang rehat di bahagian dapur rumah sementara ibu, bapa dan adik bongsunya tidur di dalam bilik yang terletak bersebelahan ruang rehat berkenaan.

Katanya, kesemua perompak yang menutup muka dengan baju itu memasuki rumah selepas mencungkil tingkap di bahagian dapur tanpa disedari oleh mereka sekeluarga.

“Saya ketuk pintu bilik mama. Masa buka pintu, mama sempat jauhkan diri di sudut bilik sebelum mereka suruh mama duduk. Ayah yang terjaga terus kena ikat dengan tali getah dan diacu dengan parang.

Muhamad Amirul berkata, dia berasa sangat takut dengan situasi itu apatah lagi bila melihat perompak meletakkan parang di leher bapanya sambil bertanyakan duit dan barang kemas milik ibunya.

Sementara itu, Salbiah Adnan, 43, mengakui masih trauma dengan kejadian itu dan hanya memikirkan keselamatan keluarga terutama suaminya, Rosdi Ismail, 45, yang diacukan parang sepanjang kejadian.

Katanya, semasa kejadian dia hanya mampu berdoa memohon perlindungan daripada ALLAH dan membiarkan kesemua perompak berkenaan menggeledah bilik tidurnya.

“Selepas dapat sebahagian duit dan barang kemas mereka tanya lagi mana saya simpan barang kemas lain. Saya terus capai barang kemas yang ada sebab fikirkan suami yang diacukan parang,” katanya.

Menurutnya, kesemua perompak itu kemudiannya bertindak mengunci mereka di dalam bilik dan mengugut akan mencederakan mereka sekiranya menjerit dan keluar dari bilik berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, kes tersebut masih giat disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mangsa mengalami kerugian keseluruhan bernilai RM30,000 termasuk wang tunai berjumlah RM7,000.

“Mangsa juga kehilangan lima utas rantai emas, seutas gelang emas dan satu loket, dua jam tangan, lima telefon bimbit dan satu komputer riba,” katanya.

Sinar Harian 22 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment