January 27, 2016

Maut ditembak lebih tujuh das

Lelaki berusia 41 tahun maut ditembak dari jarak dekat. FOTO Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Lelaki berusia 41 tahun maut selepas dipercayai ditembak lebih tujuh das dari jarak dekat ketika memandu pacuan empat roda di Taman Jinjang Selatan Tambahan, dekat sini, petang tadi.

Difahamkan, dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa dalam perjalanan ke kilang berhampiran untuk berjumpa rakannya dengan menaiki pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

Menurut jiran mangsa yang enggan dikenali, mangsa sering menggunakan laluan berkenaan hampir setiap hari.

Katanya, ketika kejadian dia berada di dalam rumah sebelum terdengar bunyi letupan yang disangka mercun.

"Saya segera keluar rumah dan melihat seorang lelaki turun dari kenderaan pacuan empat roda menembak mangsa dari jarak dekat," katanya.

Difahamkan, selepas melepaskan lebih tujuh das tembakan, suspek terus melarikan diri menaiki pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy mengesahkan kejadian dan berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui motif kejadian dan siapa yang bertanggungjawab menembak mangsa.

myMetro 25 January 2016



0 comments:

Post a Comment