January 27, 2016

Pelajar Malaysia di Perancis maut ketika bermain ski


Gambar kenangan Affiah Ariffin Hew,23, ketika bercuti ke New Zealand bersama keluarga kesayangannya pada tahun 2012.

Affiah Ariffin Hew bersama keluarganya.

KUALA LUMPUR - Seorang pelajar Malaysia di Perancis, Affiah Ariffin Hew, meninggal dunia sehari selepas terbabit dalam kemalangan ketika bermain ski di Nice, Perancis pada Jumaat lepas.

Difahamkan Affiah, 23, pelajar di University of Nantes terbabit dalam kemalangan ski itu pada 22 Januari lepas menyebabkannya berada dalam keadaan kritikal.

Ibu mangsa, Latipah Madon, yang kini berada di Perancis mengesahkan anaknya meninggal dunia kira-kira 7 malam Sabtu waktu tempatan (2 pagi Ahad waktu Malaysia) ketika dirawat di Hospital Chu Pasteur di Nice.

"Urusan membawa pulang jenazah anak saya ke Malaysia dijangka mengambil masa antara dua dan tiga hari," katanya menerusi sistem pesanan Facebooknya hari ini.

Beliau berlepas ke Perancis pada pagi Sabtu lalu selepas dimaklumkan mengenai kemalangan itu.

Sementara itu, Persatuan Pelajar Malaysia di Perancis (MASAF) menerusi laman Facebooknya menyatakan Affiah terbabit dalam kemalangan ketika berski di Nice.

Menurut MASAF, mangsa dibawa ke Hospital Chu Pasteur untuk rawatan dan dikatakan berada dalam keadaan koma.

"Kami ingin menzahirkan perasaan dukacita, hiba dan pilu dengan kejadian ini serta seterusnya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Affiah, semoga tabah dengan kehilangan insan tercinta," kata MASAF menerusi Facebook. - Bernama

Kosmo 25 Jan 2016


Arwah ingin jumpa anggota keluarga

KUALA LUMPUR - "Tak sangka keinginan bertemu dengan semua anggota keluarga merupakan permintaan terakhirnya sebelum pergi meninggalkan kami buat selamanya," kata sepupu kepada Affiah Ariffin Hew, 23, yang meninggal dunia susulan kemalangan ketika bermain ski di Perancis.

Kemalangan membabitkan pelajar University of Nantes itu berlaku di Nice pada Jumaat dan Affiah meninggal dunia sehari kemudian (awal pagi Ahad di Malaysia).

Mohammed Alif Mohamed Omar, 29, berkata, kehilangan Affiah memberi kesan mendalam kepada seluruh anggota keluarga.

"Allahyarham seorang yang sangat peramah dan sering mengambil berat tentang orang lain...dia akan membantu sesiapa sahaja termasuk rakan dan keluarga.

"Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada dua bulan lepas ketika arwah balik untuk cuti semester, arwah datang ke kedai makan saya bersama keluarganya dengan memesan pelbagai jenis makanan sehinggakan ibunya sendiri menggelengkan kepala," kata Mohammed Alif ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohammed Alif berkata ibu Affiah, Latipah Madon, kini dalam usaha untuk membawa jenazah pulang untuk dikebumikan di Malaysia.

"Jika tiada masalah, jenazah Affiah akan dibawa pulang ke Malaysia dalam masa tiga hari dan terus dihantar ke rumahnya di Damansara," katanya.

Mohammed Alif mengakui masih belum mendapat maklumat lanjut mengenai kejadian sebenar yang menimpa sepupunya itu.

Sementara itu, Kementerian Luar menerusi kenyataan hari ini mengesahkan kejadian itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

"Pihak kementerian sedia memberi bantuan kepada keluarga mangsa dalam proses membawa jenazah ke tanah air," kata kenyataan itu.

Affiah merupakan anak sulung daripada dua beradik.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Pasteur di Nice selepas kemalangan itu sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan. - Bernama

25 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment