January 5, 2016

Hidup berubah lepas kemalangan


NORMARIANI membantu membersihkan tiub penutup usus suaminya.

Kuala Terengganu: “Hidup kami sekeluarga berubah kerana kemalangan itu menyebabkan suami yang menjadi ketua keluarga terlantar akibat komplikasi dalaman dan usus terkeluar, manakala anak masih koma,” kata Normariani Zanal, 25, selepas terbabit dalam kemalangan yang berlaku di Kampung Jeram, Manir, di sini pada Disember lalu.

Dalam kemalangan itu, Normariani bersama suaminya, Mohd Saidi Ibrahim, 35, dan anak mereka, Muhammad Syaqir Muaqriz, 7, yang menaiki motosikal bertembung dengan sebuah motosikal lain.

Kejadian itu menyebabkan Normariani patah tangan kiri dan suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berhenti kerja manakala anak mereka yang koma sehingga kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Menurutnya, kemalangan itu berlaku ketika mereka menaiki motosikal membeli barang keperluan sekolah anak tunggalnya yang sepatutnya masuk Tahun Satu, kelmarin.

“Kemalangan itu menyebabkan suami dan anak dimasukkan ke ICU kerana koma. Suami mula sedar selepas empat hari ditempatkan di unit berkenaan sebelum dibenarkan pulang.

“Namun keadaannya suami masih tidak pulih sepenuhnya kerana usus terkeluar perut dan terpaksa memakai tiub penutup usus,” katanya ketika ditemui di Kampung Kebor Tok Bilal, Manir, di sini, semalam.

Pendapatan mereka sebelum ini hanya cukup makan dan tidak mempunyai simpanan yang banyak untuk membeli tiub penutup usus dan ubat-ubatan suaminya.

Katanya, suaminya pula terpaksa bergantung dengan tiub berkenaan kerana najis akan terkeluar dari ususnya setiap kali makan.

“Ia juga perlu diganti sebanyak dua hingga tiga kali sehari kerana bimbang jangkitan kuman berlaku di bahagian usus yang terkeluar itu.

“Setiap kotak tiub bernilai RM200 dan ia hanya bertahan tidak sampai sebulan. Saya memang tidak mampu dan keadaan sekarang memang susah tetapi semua ini ujian yang perlu dihadapi dengan tabah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Pasu Che Mansor Salleh berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM900 kepada keluarga itu.

Pihaknya mohon JKM dapat memberi bantuan kewangan sebanyak RM300 setiap seorang sehingga mereka sembuh berikutan pasangan terbabit hilang sumber pendapatan selain datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Selain itu, kami akan memantau keluarga ini untuk melihat bantuan atau keperluan lain untuk mereka,” katanya selepas menziarahi dan menyampaikan sumbangan barang keperluan harian kepada keluarga berkenaan.

myMetro 5 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment