January 27, 2016

'Ghaib' lebih 10 kali


MOHD Irwan ditemui dalam keadaan berbogel di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Pekan Sabak Bernam.

Sabak Bernam: Kemunculan seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan berbogel di pekarangan Masjid Jamek Sultan Hishamuddin di sini, jam 8.45 pagi kelmarin, menggemparkan orang ramai di situ.

Kanak-kanak yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia 10 tahun itu berkeliaran di kawasan berkenaan lebih setengah jam sebelum kehadirannya disedari kakitangan Majlis Daerah Sabak Bernam yang kemudiannya menghubungi ahli jawatankuasa (AJK) rumah ibadat berkenaan.

AJK masjid, Ibnu Sina Juwaini berkata, dia bergegas ke rumah ibadat berkenaan selepas dihubungi kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Saya dan beberapa individu memujuk kanak-kanak berkenaan untuk memakai kain pelekat dan dia akhirnya akur.

“Selepas itu, kami menunggu jika ada ahli keluarga kanak-kanak berkenaan datang ke masjid untuk menjemputnya namun tiada sesiapa muncul. Kami kemudiannya menghubungi polis untuk memaklumkan perkara berkenaan,” katanya.

Tidak lama kemudian, kanak-kanak berkenaan dibawa ke balai polis berhampiran sebelum keluarganya menjemputnya pulang.

Sementara itu, ibu kanak-kanak berkenaan, Noriza Din, 52, berkata, dia hanya menyedari Mohamad Irwan hilang jam 8.30 pagi, selepas melihat pintu rumah terbuka.

Katanya, dia tidak menyangka Mohamad Irwan akan ke masjid berkenaan yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.

“Sebelum ini, lebih 10 kali Mohamad Irwan keluar dari rumah. Saya harap ada pihak yang dapat membantu saya dalam hal ini termasuk menawarkan tempat penjagaan harian yang sempurna untuknya.

“Anak saya memerlukan perhatian dan jagaan rapi. Saya tidak dapat bekerja kerana perlu menjaganya. Kami sekeluarga bergantung kepada bantuan zakat dan wang pemberian anak perempuan untuk menyara hidup,” katanya yang tinggal di Taman Aman, di sini.

myMetro 26 January 2016


0 comments:

Post a Comment