January 27, 2016

Air pasang besar, 14 penduduk dipindahkan

Keadaan rumah penduduk Kampung Pulau Kundur selepas air pasang besar. FOTO ihsan bomba

Kota Bharu: Seramai 14 penduduk Kampung Pulau Kundur, Pantai Cahaya Bulan, di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kundur malam tadi kerana rumah mereka dilanda banjir berikutan air pasang besar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Zaini Bidin berkata, lima anggotanya membantu memindahkan mangsa selepas menerima panggilan kira-kira 9 malam.

"Dua lori digerakkan ke sana turut memantau keadaan. Setakat ini keadaan masih terkawal.

"Bagaimanapun, 14 mangsa yang menghuni empat rumah berdekatan pantai diminta berpindah atas faktor keselamatan dan rumah mereka turut dimasuki air hampir setengah meter.

"Mereka dipindahkan ke SK Kundur malam tadi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Mukim Pulau Kundur Nik Aziz Nik Musa berkata, penduduk tinggal berdekatan pantai sudah biasa berhadapan fenomena itu.

"Tapi biasanya air surut cepat, namun kali ini surut lambat kerana angin kencang dan ombak tinggi.

"Atas faktor keselamatan maka 14 penduduk berpindah," katanya yang memberitahu rumahnya turut dimasuki air.

myMetro 26 January 2016



0 comments:

Post a Comment