January 27, 2016

Bedil 3 das

MOHD Haikal cedera ditembak selepas mengeluarkan wang di mesin ATM.

Temerloh: “Saya seperti tidak percaya apabila dimaklumkan adik ditembak, namun lega apabila dia terselamat dan masih panjang umur,” kata seorang wanita enggan dirinya dikenali mengenai kejadian tembak yang menimpa adiknya, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu mangsa, Mohd Haikal Rosli, 31, yang bekerja sebagai pemandu di Kolej Vokasional Pertanian Chenor, di sini, ditembak tiga das oleh lelaki yang cuba menyamunnya di depan sebuah bank di Jalan Ahmad Shah, di sini.

Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira 500 meter dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

Wanita itu berkata, ketika kejadian dia berada di Kuantan dan bergegas pulang selepas dimaklumkan oleh adik bongsunya berhubung kejadian itu manakala mangsa kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), di sini.

“Dia (Mohd Haikal) kini dalam keadaan stabil, namun pihak hospital akan membuat beberapa pemeriksaan susulan sebelum dia boleh dipindahkan ke wad biasa.

“Dia sudah boleh bercakap, namun saya tidak bertanyakan mengenai kejadian itu kerana dia masih dalam keadaan lemah akibat kesan bius selain tidak mahu mengganggunya berehat,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, pihak hospital memaklumkan adiknya bernasib baik kerana peluru tidak mengenai bahagian organ penting dan mereka sekeluarga bersyukur anak kedua daripada tiga beradik terbabit selamat selain menyerahkan kepada pihak polis membuat siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Anuar Othman berkata, mangsa yang baru mengeluarkan wang daripada mesin juruwang automatik (ATM) didatangi tiga lelaki dipercayai mahu menyamunnya.

“Lelaki itu cuba melawan menyebabkan seorang daripada tiga suspek melepaskan tiga das tembakan dipercayai menggunakan pistol mengenai bahu kiri dan sebelah kanan perut mangsa sebelum melarikan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, di sini, semalam.

Katanya, dalam keadaan kesakitan dan berlumuran darah, mangsa masih boleh memandu sendiri ke IPD Temerloh kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian sebelum dia dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati suspek sebelum itu cuba menyamun sebuah kereta, namun gagal dan usaha mengesan mereka kini giat dijalankan manakala kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

myMetro 27 January 2016



0 comments:

Post a Comment