January 27, 2016

Bina segera pemecah ombak!

BAHAGIAN belakang rumah penduduk musnah dipukul ombak.

AIENI (kiri) melihat keadaan rumah yang musnah akibat dibadai ombak.

Kuala Nerus: Tindakan segera termasuk membina lapis dinding atau benteng pemecah ombak perlu dijalankan di kawasan hakisan bagi memastikan fenomena ombak besar dan angin kencang yang berlaku tidak berterusan memusnahkan harta benda penduduk di pesisir pantai.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, tindakan pantas pihak yang bertanggungjawab membina benteng pemecah ombak di kawasan pantai Tanjung Gelam dan Pantai Kampung Tengah menyelamatkan harta benda orang ramai di kawasan itu.

“Sebaiknya kawasan yang mempunyai penempatan dan aset penduduk diutamakan berbanding kawasan lain bagi membina benteng pemecah ombak itu.

“Kami bimbang jika ia tidak ditangani segera pada peringkat awal ia bertambah teruk pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas melawat sebuah rumah yang musnah akibat dibadai ombak di Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot, di sini, semalam.

Aieni berkata, pihaknya menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Hakisan dan Banjir bagi mengkaji dan mencari penyelesaian terbaik untuk menangani masalah berkenaan.

“Agak membimbangkan apabila kawasan lain di UMT sendiri terjejas disebabkan fenomena seperti ini dan ia sememangnya di luar jangkaan.

“Kami memberi tumpuan dan membuat persediaan awal di kawasan UMT yang terjejas pada tahun lalu tetapi malangnya pada tahun ini kawasan lain termasuk sekitar kolej pula dinaiki air dan terjejas disebabkan fenomena ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri turut bekerjasama dalam menangani masalah itu.

“UMT akan menjalankan kajian menyeluruh dan fenomena itu memberi peluang kepada pelajar untuk membuat kajian serta mempelajari berkaitan kejuruteraan pantai bagi mencari cara mengatasinya,” katanya.

myMetro 27 January 2016


Rumah dibadai ombak

Abdulllah melihat bahagian dapur rumahnya yang dibadai ombak malam tadi. FOTO Aswadi Alias

Kuala Nerus: Tiga beranak berdepan detik mencemaskan apabila rumah didiami dibadai ombak besar lebih dua meter sehingga bahagian dapur rumah mereka rosak dalam kejadian di Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot, di sini, malam tadi.

Akibat kejadian kira-kira 10 malam itu, Abdullah Mat Isa, 52, bersama isteri Hani Awi, 44, dan anak tunggal mereka, Nor Hidayah Abdullah, 18, terpaksa berpindah ke rumah saudara terdekat.

Abdullah berkata, air pasang mulai menghampiri kawasan rumahnya yang terletak tiga meter dari pantai.

Bagaimanapun, sekitar jam 8 malam, ombak besar disertai angin kencang mula membadai rumahnya.

“Tanpa berlengah, saya mengarahkan anak dan isteri supaya segera mengemas barangan untuk dipindahkan ke rumah keluarga berhampiran.

“Pada 10 malam, saya terdengar bunyi kuat dan apabila diperiksa, saya dapati bahagian dapur rumah sudah musnah dibadai ombak,” katanya ketika ditemui Harian Metro, malam tadi.

Menurutnya, kejadian berkenaan menyebabkannya mengambil keputusan untuk tidak lagi tinggal di rumah pusaka berusia 40 tahun peninggalan ibu mentuanya itu.

“Saya tak berani nak duduk di sini lagi dan bercadang tinggal di rumah pusaka keluarga di Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Bomba dari Balai Bomba Kuala Nerus, Mohd Pauzi Muda berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 10.32 malam.

“Seramai 20 anggota dari Balai Bomba Kuala Nerus dan Kuala Teregganu serta bomba sukarela selain Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bergegas ke tempat kejadian untuk membantu mangsa yang terjejas.

“Anggota penyelamat akan berkampung di sini bagi memantau keadaan dari semasa ke semasa dan saya menasihatkan 15 keluarga yang tinggal di sepanjang lima kilometer di pantai ini supaya segera berpindah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya yang mengetuai operasi berkenaan.

myMetro 26 January 2016


9 keluarga pindah, rumah dipukul ombak

RUMAH musnah akibat air pasang besar di Kampung Tanjung Gelam. OTO Aswadi Alias

AIR pasang besar di Kampung Tanjung Gelam memusnahkan rumah. FOTO Aswadi Alias

ABDULLAH Mat Isa, 52, (Kiri) melihat bahagian belakang rumahnya yang musnah dipukul ombak besar di Kampung Tanjung Gelam. FOTO Aswadi Alias

Kuala Terengganu: Tiga puluh tujuh orang daripada sembilan keluarga di dua kampung di Kuala Nerus berpindah berikutan kejadian ombak kuat dan angin kencang sehingga 11 pagi tadi.

Menurut kenyataan Seketariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Terengganu/Kuala Nerus, Leftenan Muda Ahmad Kamal Hakim, lapan keluarga di Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot berpindah ke rumah saudara berdekatan.

Katanya, 30 orang dari kampung itu berpindah selepas tiga rumah dipukul ombak.

"Tujuh orang daripada satu keluarga di Kampung Tengah, Mengabang Telipot juga berpindah apabila rumah mereka dibadai ombak.

"Keadaan cuaca ketika ini cerah tetapi angin mencecah kelajuan sehingga 60 kilometer sejam. Keadaan ombak di kawasan pesisir pantai juga tinggi dan mencecah empat hingga lima meter," katanya.

myMetro 26 January 2016

0 comments:

Post a Comment