January 13, 2016

Bawa pisau nak jumpa hakim

Lelaki dipercayai kurang siuman yang ditahan kerana membawa pisau pemotong daging dan pisau dalam beg (gambar kanan) ketika memasuki Istana Kehakiman di Presint 3, Putrajaya.

Putrajaya: Seorang lelaki dipercayai kurang siuman ditahan polis kerana membawa sebilah pisau pemotong daging dan pisau dalam beg ketika memasuki Istana Kehakiman di Presint 3 di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, lelaki berusia 27 tahun yang memakai kemeja-T merah dan berkain pelikat, dikatakan mahu memasuki Istana Kehakiman untuk berjumpa hakim bagi mengadu masalah peribadi.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan berkata penganggur itu ditahan ketika pemeriksaan polis di pintu utama Istana Kehakiman.

"Lelaki berkenaan dibawa ke balai polis dan dimaklumkan oleh keluarganya dia ada rekod rawatan mental di hospital," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Rosly berkata, kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang kemudian meminta merujuk hospital untuk tindakan lanjut.

Lelaki itu dipercayai menaiki bas dari Bukit Rambai, Melaka, pagi tadi untuk ke Istana Kehakiman.

Difahamkan lelaki itu cuba memasuki Istana Kehakiman pada Disember lalu, namun dihalang polis bantuan di sana. - Bernama

myMetro 12 Januari 2016




0 comments:

Post a Comment