January 24, 2016

5 kematian di Terengganu


Kuala Nerus: Sekurang-kurangya 407 kes denggi dilaporkan di seluruh Terengganu pada 2016 berbanding 106 kes bagi tempoh sama pada 2015 dengan peningkatan 301 kes.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata daripada jumlah itu, lima kematian dilaporkan dengan empat daripadanya membabitkan kes di Kuala Terengganu manakala satu kes lagi di Kampung Pulau Perhentian, Besut.

Menurutnya, Terengganu menduduki tangga kelima antara negeri yang mencatatkan jumlah bilangan kes denggi di Malaysia sehingga Rabu lalu.

"Sehingga Khamis lalu, Kuala Terengganu mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi iaitu sebanyak 265 kes diikuti Kuala Nerus (65 kes), Dungun (26 kes), Besut (19 kes), Marang (14 kes), Hulu Terengganu (11 kes), Kemaman (lima kes) dan Setiu (dua kes).

"Terdapat 30 lokaliti wabak yang masih aktif di Terengganu dengan 26 adalah wabak terkawal dan empat wabak tidak terkawal.

"Bagi lokaliti wabak terkawal, 16 lokaliti adalah di KualaTerengganu, Kuala Nerus (7), Besut (2) dan Dungun (1) sementara empat wabak tidak terkawal adalah Kuala Terengganu iaitu di kawasan Jalan Panji Alam, Kampung Chendering Pantai, Kampung Gong Tok Nasek Hilir dan Kedai Buloh.

"Isu denggi ini tidak boleh dipandang ringan dan semua pihak harus memainkan peranan dengan tidak meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada Jabatan Kesihatan Negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk mengatasi masalah ini," katanya yang ditemui selepas Gotong Royong Perdana di Kampung Bukit Kandis, di sini, hari ini.

myMetro 23 January 2016

0 comments:

Post a Comment