January 24, 2016

Ketulan ais tak beracun

LAPORAN Harian Metro, semalam.

Kuala Lumpur: Fenomena hujan batu di Shah Alam, kelmarin tidak mempunyai kaitan dengan cuaca tidak menentu yang melanda tanah air sejak akhir tahun lalu.

Pegawai Meteorologi Bahagian Khidmat Korporat dan Komersial Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Ambun Dindang berkata, keadaan itu hanya berpunca daripada air hujan yang mencapai paras beku tertinggi di awan kumulunimbus.

“Kebiasaannya awan tinggi yang bersaiz besar akan mengakibatkan air hujan yang terkandung mengalami pergolakan dengan bergerak ke atas dan ke bawah sebelum ia dilepaskan menjadi batu kecil yang sejuk.

“Apabila air hujan berkenaan dilepaskan daripada awan yang tinggi yang berada pada paras beku, suhu Celsius negatif berkenaan akan menyebabkan air hujan menjadi ketulan ais,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, ketulan ais itu juga selamat untuk dimakan memandangkan ia berasal dari air hujan dan tanggapan ia beracun tidak benar sama sekali.

“Fenomena ini bukan perkara luar biasa dan ia boleh berlaku di mana-mana saja asalkan ada awan besar luar biasa di paras beku langit.

“Mungkin di Malaysia ia mendapat perhatian kerana jarang berlaku dan kebetulan berlaku semasa musim hujan,” katanya.

Ditanya mengenai tanggapan segelintir masyarakat Malaysia akan menerima salji selepas berlaku hujan batu berkenaan, Ambun menafikan perkara itu memandangkan iklim tanah air tidak sesuai bagi cuaca sejuk berkenaan.

“Mustahil kita (Malaysia) akan mendapat salji. Iklim yang panas dan lembab tidak akan mewujudkan salji biarpun dalam tempoh yang lama,” katanya.

“Hujan batu juga selalunya tidak berlaku dalam tempoh yang lama dan boleh berlaku pada bila-bila masa sekiranya awan kumulunimbus cukup besar dan tinggi,” katanya.

myMetro 24 January 2016



0 comments:

Post a Comment