December 30, 2015

Tiga das maut

MAYAT mangsa dijumpai Bukit Sumpitan, kira-kira 15 Kilometer dari Redang Panjang, Selama.

Selama: Mayat lelaki ditemui dengan tiga kesan tembakan di muka dan dahi di tepi jalan masuk ke Bukit Sumpitan sempadan Gerik dan Selama, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat berkenaan pada 12.20 tengah hari dan pemeriksaan dilokasi kejadian menemui mangsa dalam keadaan terlentang, lengkap berpakaian.

Menurutnya, lokasi mayat ditemui adalah di tepi jalan masuk Bukit Sumpitan, kira-kira 15 Kilometer dari Redang Panjang, di sini iaitu sempadan antara Selama dan Gerik.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa yang dalam usia lingkungan 50-an itu dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di tempat kejadian.

"Hasil siasatan di tempat kejadian jumpa satu lelaki bangsa tidak pasti mati dalam keadaan terlentang dan berpakaian penuh. Terdapat kesan darah di dahi serta tiada apa apa kesan darah di sekeliling mayat.

"Pemeriksaan ke atas lelaki itu tidak menjumpai apa apa pengenalan diri dipercayai dibunuh di tempat lain dan mayat di buang ditempat kejadian berdasarkan kesan darah yg telah kering," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa dipercayai ditembak dari jarak sederhana, satu di bahagian dahi dan dua di muka dengan peluru jenis .22 milimeter

"Mangsa mempunyai ketinggian lebih kurang 1.6 meter, berpakaian baju T gelap dan seluar jeans biru serta memakai tali pinggang coklat.

"Polis sedang mengenal pasti identiti mangsa dipercayai warga tempatan melalui cap jari dengan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara serta Bukit Aman," katanya.

Katanya, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta segera berhubung dengan balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

myMetro 30 Disember 2015


90 peratus pasti Hassan

Selama: Identiti mayat seorang lelaki yang ditemui mati dengan tiga kesan tembakan di dahi dan muka di tepi jalan masuk ke Bukit Sumpitan, di sini, pada 29 Disember tahun lalu, dikenali sebagai Hassan Osman, 58, warga asing yang mempunyai dua kerakyatan dan dikehendaki pihak berkuasa Thailand membabitkan kegiatan pemerdagangan manusia.

Difahamkan lelaki etnik Rohingya itu, mempunyai kerakyatan Myanmar dengan nama U Mar San @ Tun Yee dan kerakyatan Thailand dengan nama Nai Had Thong Ting serta pengecaman mangsa disahkan oleh seorang anak lelakinya beberapa hari selepas berita mengenai penemuan mayat mangsa dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, pihaknya bagaimanapun masih menunggu laporan asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identiti sebenar mangsa.

Menurutnya, pihak berkuasa Thailand turut menghubungi pihaknya memaklumkan lelaki dikenali sebagai Hassan Osman itu dikehendaki dan diburu kerana dipercayai antara dalang utama dalam kegiatan memperdagangkan manusia di negara berkenaan.

“Identiti mangsa di kenal pasti berdasarkan pengecaman dibuat anak lelakinya yang tinggal di Thailand dan setakat ini 90 peratus pasti ia Hassan, namun kita masih menunggu laporan DNA serta mayatnya masih tidak boleh diserahkan kepada ahli keluarga lagi.

“Polis turut berhubung dengan Kedutaan Myanmar untuk pengesahan identiti lelaki berkenaan dan masih belum ada jawapan,” katanya.

Lian Lay berkata, siasatan awal turut mendapati mangsa mempunyai dua anak lelaki yang kedua-duanya rakyat Malaysia, namun hanya seorang saja yang datang membuat pengecaman dan seorang lagi dipercayai hilang bersama mangsa serta hingga kini masih gagal dikesan.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari 29 Disember lalu, lelaki berkenaan dipercayai ditembak dari jarak dekat iaitu di dahi dan dua das di muka dengan peluru jenis .22 milimeter (mm) ditemui lengkap berpakaian serta dipercayai dibunuh di tempat lain.

myMetro 13 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment